KUALA TERENGGANU: Syarikat pasar raya milik bumiputera, Sabasun Hyperruncit Sdn. Bhd. (Sabasun) bakal membuat pelaburan RM14 juta untuk membuka dua cawangan baharu sebelum suku kedua tahun ini.
Pengarah Urusannya, Che Salmi Che Ibrahim berkata, Sabasun turut meletakkan sasaran peningkatan pendapatan tahunan sehingga RM40 juta dengan pembukaan cawangan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya merekodkan pendapatan tahunan RM248 juta bagi tahun kewangan 2022 berakhir 31 Disember lalu iaitu pertambahan 15 peratus berbanding tahun sebelumnya.
“Buat masa ini kami memiliki cawangan di Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kuala Berang, Kampung Baru (Kuala Lumpur) dan dua di daerah Kemaman.
“Sebelum Jun 2023, Sabasun merancang untuk membuka rangkaian pasar raya baharu di Kuala Berang dan di Kampung Binjai, Kemaman dengan pelaburan sehingga RM7 juta setiap satu.
“Prestasi jualan di enam cawangan sedia ada cukup baik kecuali di Kampung Baru yang memerlukan sedikit masa lagi untuk dikenali kerana kali pertama kami bertapak di luar Terengganu,” jelasnya.
Beliau ditemui selepas majlis penyerahan tajaan sebanyak RM250,000 selama setahun kepada kelab Liga Super, Terengganu FC (TFC) di sini, semalam.
Dalam pada itu, Che Salmi memberitahu, Sabasun turut membantu 350 usahawan mikro, kecil dan sederhana tempatan menjana pendapatan sehingga RM3 juta sebulan.
Jelasnya, lebih 3,500 produk IKS yang ditempatkan di rangkaian pasar raya itu mendapat sambutan tinggi pengguna sambil berhasrat untuk menambah peluang usahawan tempatan.
“Bagi tanggungjawab korporat dan sosial (CSR) pula, Sabasun juga tidak terkecuali sentiasa aktif dengan sumbangan RM400,000 setiap tahun bagi melaksanakan pelbagai program.
“Antaranya dengan menghantar misi bantuan ke luar negara termasuk kepada di Palestin serta tidak ketinggalan golongan fakir miskin di dalam negara,” tambah Che Salmi. – UTUSAN










