Ringgit dijangka RM4.05 berbanding dolar akhir 2023

Ringgit dijangka RM4.05 berbanding dolar akhir 2023

ringgit
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Maybank Investment Bank Bhd (Maybank IB) mengunjurkan ringgit bakal mengakhiri tahun 2023 lebih tinggi pada paras RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Ketua Strategi dan Penyelidikan Tukaran Asing Pasaran Global Maybank IB, Saktiandi Supaat berkata, mata wang tempatan dijangka mengukuh secara berperingkat berbanding dolar AS sepanjang 2023.

Menurut Saktiandi, ringgit juga dijangka didagangkan pada RM4.40 pada suku pertama tahun ini dan kemudian bakal menokok kepada RM4.25 pada suku kedua sebelum RM4.15 suku ketiga.

Katanya nilai ringgit kemudiannya akan menokok kepada RM4.05 berbanding dolar AS pada suku keempat 2023.

“Kadar Rizab Persekutuan (Fed) dan ketidaktentuan politik yang melemahkan sentimen ringgit dalam beberapa bulan kebelakangan ini kini telah hilang.

“Kejatuhan harga komoditi daripada paras puncaknya pada 2022 mungkin memberi kesan kepada ringgit, tetapi kesannya harus disederhanakan kerana imbangan perdagangan bertahan ekoran pembukaan semula China dan ringgit kelihatan murah pada terma kadar pertukaran efektif benar (REER),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai Prospek Ekonomi 2023 secara dalam talian, semalam.

Tambahnya lagi, faktor luaran lain seperti kekuatan dolar AS yang semakin kurang serta hasil perbendaharaan AS yang jatuh juga dilihat bakal menyokong ringgit untuk terus mengukuh sehingga hujung 2023.

Saktiandi turut menjangkakan ringgit mempunyai peluang untuk meningkat sekiranya situasi ekonomi bertambah baik dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang.

“Tinjauan untuk ringgit sepatutnya bersandar positif walaupun kami kekal berwaspada terhadap risiko seperti kadar puncak Fed yang lebih tinggi daripada jangkaan dan kemelesetan ekonomi global,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN