PETALING JAYA: Petronas kekal sebagai jenama paling berharga di ASEAN sejak 2011 walaupun nilainya jatuh AS$0.8 billion, menurut laporan Brand Finance’s Global 500 2023 yang dilancarkan di Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos.
Menurut laporan tersebut, Petronas turut mengekalkan kedudukannya sebagai penarafan jenama AAA sejak 2019.
Brand Finance berkata, penyelidikannya menunjukkan sebab utama penurunan prestasi termasuk ramalan negatif seluruh industri dalam tempoh tiga hingga lima tahun akan datang.
Ini kerana, harga minyak dan bahan api fosil dijangka stabil, ditambah pula dengan operasi Eksplorasi dan Pengeluaran yang perlahan serta ketidaktentuan dalam pasaran minyak dan gas (O&G).
Selain itu, apabila jenama minyak dan gas (O&G) mula berhijrah ke arah sumber tenaga boleh diperbaharui dan menjauhi O&G, ramalan menurun apabila aliran tunai masa depan dipersoalkan.
Pengarah Urusan Brand Finance Asia Pacific, Alex Haigh berkata, komitmen Petronas untuk memberi kembali kepada masyarakat dan langkah terbaharunya untuk menerima tenaga boleh diperbaharui membolehkan jenama itu beralih ke masa depan.
“Ini penting kerana ekonomi keseluruhan Malaysia dan industri O&G khususnya sedang melalui tempoh yang tidak menentu.
“Jenama sepatutnya mengambil perhatian tentang peralihan ini kepada amalan perniagaan yang lebih mampan,” katanya.
Tambahnya, di ASEAN, enam jenama termasuk dalam ranking tahun ini adalah Petronas, DBS (nilai jenama naik 21 peratus kepada AS$10.5 bilion), Viettel (nilai jenama naik dua peratus kepada AS$8.9 bilion) dan PTT (nilai jenama naik 20 peratus kepada AS$6.6 bilion).
Turut tersenarai adalah UOB (nilai jenama naik 13 peratus kepada AS$5.5 bilion) dan OCBC (nilai jenama naik 13 peratus kepada AS$5.4 bilion). – UTUSAN










