Pengekalan OPR kurangkan kebimbangan pemaju hartanah - Utusan Malaysia

Pengekalan OPR kurangkan kebimbangan pemaju hartanah

KERAJAAN perlu memperkenalkan skim rumah mampu milik dalam pembentangan Bajet 2023 minggu depan bagi membantu rakyat memiliki rumah. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) melihat pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) membantu menenangkan kebimbangan pemaju hartanah tentang kenaikan kos menjalankan perniagaan. 

Presidennya, Datuk NK Tong berkata, dengan pengekalan OPR itu, jumlah bayaran bulanan yang perlu dibuat itu kekal buat masa ini sekali gus membantu meringankan beban para pemaju.

“Keputusan untuk mengekalkan OPR adalah satu langkah berjaga-jaga oleh kerajaan dan ia selari dengan trend dunia untuk mengurangkan kenaikan kadar faedah.

“Selain membantu pemaju, langkah itu turut membantu pemilik rumah dengan pembayaran pinjaman mereka, sekali gus menggalakkan rakyat Malaysia untuk memiliki rumah yang boleh menjadi aset lindung nilai bagi mencegah inflasi,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Ujarnya, walaupun kadar OPR telah dinaikkan beberapa kali selepas pandemik Covid-19, kadar kenaikannya kekal sederhana berbanding di negara lain. 

Pada masa yang sama, jelasnya, ekonomi negara yang telah dibuka turut merangsang pasaran hartanah kerana bakal pembeli rumah mula mencari rumah kediaman yang diimpikan.

“Ramai di antara rakyat yang mengambil sikap tunggu dan lihat, khususnya sebelum pembentukan kerajaan baharu dan juga kebimbangan berkenaan kenaikan OPR. 

“Dengan pengekalan kadar OPR ini dan juga kerajaan perpaduan yang telah berjaya dibentuk, sentimen rakyat terhadap pembelian atau pelaburan hartanah adalah lebih positif,” katanya. 

Baru-baru ini, Bank Negara Malaysia (BNM) menerusi Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) membuat keputusan mengejut dengan mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada paras 2.75 peratus selepas empat kenaikan secara berturut-turut.

Ia selepas kenaikan OPR empat kali berturut-turut sejak tahun lalu bermula Mei, Julai, September dan November lalu, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Dalam satu kenyataan, BNM berkata pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya