PETALING JAYA: Seramai 530 pelanggan akaun Pelaburan-i Rizq Plus Bank Rakyat memenangi cabutan bulanan wang tunai dengan jumlah keseluruhan RM330,000 sejak akaun pelaburan ini diperkenalkan pada Julai 2022.
Hadiah cabutan bulan yang dilaksanakan bagi menghargai sokongan dan kepercayaan pelanggan tersebut merangkumi kategori hadiah utama seramai 10 pelanggan terpilih yang menerima wang tunai RM10,000 seorang, manakala 15 pelanggan lagi membawa pulang RM5,000 seorang.
Di samping itu, hadiah sagu hati berjumlah antara RM1,000 hingga RM100 turut dimenangi oleh pelanggan bertuah yang lain.
Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, akaun Pelaburan-i Rizq Plus yang mendapat sambutan baik daripada pelanggan bukan yang sahaja membolehkan pelanggan melabur dalam aktiviti kewangan patuh syariah malah berpeluang memenangi cabutan hadiah menarik yang ditawarkan.
Katanya, inisiatif yang dijalankan itu selaras dengan komitmen Bank Rakyat dalam memupuk tabiat melabur dan menyimpan dalam kalangan masyarakat.
“Bank sentiasa menggalakkan pelanggan untuk melabur dan menyimpan secara konsisten bagi memenuhi komitmen kewangan mereka. Lebih menarik lagi, cabutan kempen setengah tahun akaun Pelaburan-i Rizq Plus akan dilaksanakan pada Februari 2023.
“Pelanggan yang bertuah berpeluang memenangi hadiah berjumlah RM100,000 dengan hanya perlu mengekalkan purata baki bulanan minimum RM1,000 selama enam bulan,” katanya dalam kenyataan.
Tambah beliau, Bank Rakyat sentiasa komited untuk mendekati pendeposit dan pelanggan bagi menggalakkan mereka menabung, melabur dan bijak merancang kewangan.
“Menerusi simpanan dan pelaburan, pelanggan dapat membentuk jaringan keselamatan untuk mengharungi sebarang jangkaan cabaran ketidakstabilan ekonomi,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pemenang, Rohana Mohd Kassim dari Selangor berkata, dia bersyukur kerana memberi rezeki yang tidak disangka-sangka tersebut.
“Saya gembira dipilih memenangi RM5,000 dan saya merasakan akaun Pelaburan-i Rizq Plus ini merupakan penggalak untuk orang ramai melabur sambil berpeluang memenangi hadiah wang tunai,” jelasnya.
Manakala, seorang lagi pemenang, Aminah Ab. Rahman dari Melaka berkata, dia mengeluarkan duit persaraannya dari bank lain dan melabur dalam akaun Pelaburan-i Rizq Plus.
“Saya amat bersyukur kerana memenangi cabutan bertuah pada bulan kedua menyertai pelaburan ini,” jelasnya. – UTUSAN










