KUALA LUMPUR: Bank Islam menjangkakan negara akan menyaksikan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak dua kali pada tahun ini, masing-masing sebanyak 25 mata asas.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam, Firdaos Rosli berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan kenaikan OPR sebanyak 25 mata asas esok (hari ini), kenaikan untuk kali kelima berturut-turut.
Beliau berkata, BNM dijangka menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas sekali lagi pada Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari dijadual Mac, menjadikan OPR kepada 3.25 peratus.
Katanya, kenaikan tersebut adalah ditengah-tengah penurunan tahap kemudahan kewangan disebabkan penambahbaikan dalam permintaan domestik.
“Mengekalkan OPR pada tahap rendah dalam jangka masa yang terlalu lama boleh mengakibatkan ketidakseimbangan pada tahap ekonomi makro, disebabkan aktiviti pengambilan risiko yang berlebihan.
“Peningkatan OPR berturut-turut, meskipun memberi impak kepada keseluruhan kos pinjaman kepada ekonomi adalah bertujuan menghapuskan kemudahan kewangan yang berlebihan secara perlahan-lahan, berbanding untuk mengawal inflasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Sesi Pembentangan Unjuran Ekonomi 2023 di Hotel Pullman Kuala Lumpur di sini, semalam.
Dalam pada itu, Firdaos berkata, purata inflasi negara dijangka menyederhana kepada tiga peratus tahun ini berbanding jangkaan 3.4 peratus pada 2022, di bawah andaian kerajaan akan mengekalkan polisi pemberian subsidi sedia ada.
Menurutnya, kadar inflasi telah mencapai paras tertinggi tahun lalu dan akan menyederhana dalam keadaan kadar tukaran ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang lebih baik dan kesan asas.
“Namun begitu, tahap inflasi akan menjadi lebih tinggi sekiranya kerajaan melaksanakan dasar pemberian subsidi secara bersasar tahun ini, ketika harga minyak runcit yang meningkat.
“Bank Islam menganggarkan Indeks Harga Pengguna akan meningkat sebanyak 0.42 peratus melebihi paras jangkaan bagi setiap kenaikan 10 sen untuk harga jualan RON95,” jelasnya. – UTUSAN










