PETALING JAYA: MR D.I.Y. Group (M) Berhad memulakan 2023 dengan cemerlang apabila dinamakan sebagai ‘Putra Enterprising Brand of the Year’, salah satu anugerah yang menjadi idaman dalam Anugerah Jenama Putra 2022, baru-baru ini.
Ini merupakan tahun kedua MR D.I.Y. memenangi Anugerah Jenama Putra selepas memenangi Emas dalam kategori anugerah runcit itu buat kali pertama pada 2021.
Mengulas pengiktirafan tersebut,. Ketua Pemasaran Kumpulannya, Alex Goh berkata, ia adalah anugerah yang amat bermakna kerana ia datang terus daripada undian pengguna.
“Visi kami di MR D.I.Y. adalah untuk menyediakan keperluan harian kepada rakyat pada “Harga Sentiasa Rendah”, dan anugerah ini memperakui bahawa kami melakukannya dengan berkesan dan berjaya.
“Kami berterima kasih kepada rakyat Malaysia atas kesetiaan berterusan mereka dan kami mendedikasikan anugerah ini kepada lebih 16,000 pekerja kami atas kerja keras dan semangat mereka.
“Anugerah ini memberi inspirasi kepada kami untuk terus mencipta pengalaman peruncitan yang inovatif, memberikan nilai dan kesan positif kepada kehidupan rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan.
Anugerah Jenama Putra adalah unik kerana ia berdasarkan pilihan orang ramai yang mengundi jenama kegemaran mereka dalam pelbagai kategori.
Anugerah 2022 telah diumumkan dan disampaikan di Hotel One World, di sini pada 13 Januari lalu.
Anugerah Jenama Putra adalah satu-satunya anugerah jenama di negara ini yang disokong oleh MATRADE, Persatuan Pengiklan Malaysia (MAA), Persatuan Pakar Media (MSA) dan Persatuan Digital Malaysia (MDA).
Dilancarkan pada 2010 oleh Persatuan Ejen Pengiklanan Bertauliah Malaysia (4As) dengan kerjasama Jenama Paling Bernilai Malaysia (MMVB), Anugerah Jenama Putra mengiktiraf pembinaan jenama sebagai pelaburan perniagaan yang penting, diukur mengikut keutamaan pengguna. – UTUSAN








