SINGAPURA: Harga minyak merosot pada Isnin didorong oleh pengukuhan dolar dan ‘amaran’ Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) mengenai pertumbuhan ekonomi global yang sukar pada 2023.
Niaga hadapan minyak mentah Brent turun 98 sen, atau 1.1 peratus, kepada AS$84.93 (RM372.84) setong, manakala West Texas Intermediate (WTI) AS berada pada AS$79.49 (RM348.96) setong, turun 77 sen atau 1.0 peratus selepas pengukuhan dolar.
Harga minyak ditutup 2.0 peratus lebih tinggi pada Jumaat dengan Brent dan WTI menutup tirai 2022 apabila masing-masing naik 10.5 peratus dan 6.7 peratus.
Pengarah Urusan IMF, Kristalina Georgieva berkata, Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China yang merupakan enjin utama pertumbuhan global, merekodkan pertumbuhan yang perlahan secara serentak, menjadikan 2023 tahun lebih sukar daripada 2022 untuk ekonomi global.
Penganalisis Societe Generale pula berkata, komoditi menyaksikan aliran kenaikan harga AS$12.3 bilion (RM54 bilion) pada 27 Disember, aliran kenaikan harga mingguan tunggal terbesar tahun lalu.
“Komoditi dengan aliran terbesar ialah Brent, yang menyaksikan aliran kenaikan harga AS$3.4 bilion (RM14.93 bilion) apabila Russia menggariskan tindak balasnya terhadap had harga Kesatuan Eropah (EU) dan G7 yang dikenakan ke atas eksport minyak mentah negara itu kepada pihak ketiga,” kata penganalisis itu dalam nota kajian.
Presiden Vladimir Putin dalam satu dekri, mengharamkan bekalan minyak mentah dan produk minyak mulai 1 Februari selama lima bulan kepada negara yang mematuhi had berkenaan.
Turut termasuk dalam dektri itu ialah klausa yang membenarkan Putin menolak larangan berkenaan dalam kes tertentu.
Eksport minyak mentah Russia telah dialihkan ke India dan China dari Eropah manakala Moscow merancang untuk meningkatkan eksport diesel daripada pelabuhan laut Baltik Primorsk kepada 1.81 juta tan pada Januari ini.
Bagaimanapun, eksport produk minyak Januari dari Tuapse dijangka jatuh kepada 1.333 juta tan, kata peniaga.
Tinjauan harga minyak Reuters menunjukkan purata harga Brent dijangka sekitar AS$89.37 (RM392.33) setong pada 2023, manakala WTI ialah $84.84 (RM372.45) setong apabila pertumbuhan ekonomi global semakin perlahan. – AGENSI










