Matta Fair 2023 sasar 250,000 pengunjung - Utusan Malaysia

Matta Fair 2023 sasar 250,000 pengunjung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) menyasarkan sebanyak 250,000 jumlah pengunjung ke Matta Fair yang akan diadakan pada 17 hingga 19 Mac ini. 

Sasaran itu adalah dua kali ganda lebih banyak berbanding kehadiran pengunjung Matta Fair yang diadakan pada September tahun lalu iaitu sebanyak 43,996 pengunjung. 

Pengerusi Penganjur Matta Fair Mac 2023, Rocky Kho berkata, dengan lokasi baharu dan konsep menarik yang ditawarkan, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran pengunjung itu. 

Ujarnya, pihaknya yakin lokasi baharu Matta Fair yang akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur mampu menampung jumlah pengunjung itu dengan selesa. 

“Lokasi baharu itu memberi Malaysia keupayaan untuk bersaing dan memenuhi permintaan dalam pasaran baharu yang semakin berkembang, termasuk pameran serantau dan antarabangsa. 

“Acara itu akan mengambil ruang sebanyak 37,000 meter di mana peserta boleh mempamerkan produk mereka dengan selesa. 

“Matta Fair akan mencipta rekod baharu dengan saiz lokasinya yang lebih besar berbanding sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar yang diadakan di sini, semalam. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, Majlis Pengembaraan dan Pelancongan Dunia (WTTC) menjangkakan bahawa sektor pelancongan global akan pulih ke tahap sebelum pandemik Covid-19 tahun ini dan akan berkembang pada kadar yang lebih cepat daripada pertumbuhan keluaran dalam negara kasar dunia (KDNK).

“Justeru, berdasarkan statistik dan trend pelancongan semasa, kami menjangkakan untuk menggandakan perolehan kami dengan sasaran jualan sebanyak RM400 juta,” katanya. 

Sementara itu, Jawatankuasa Penganjur Matta Fair 2023, Datuk Hamzah Rahmat berkata, Arab Saudi merupakan destinasi baharu yang ditawarkan di Matta Fair kali ini. 

Ujarnya, destinasi itu tidak terhad untuk umat Islam mengerjakan umrah dan haji, malah ia kini menjadi destinasi yang boleh dilawati oleh semua orang. 

“Dengan adanya visa pelancong yang sah selama setahun dengan lawatan berulang, rakyat Malaysia digalakkan untuk mengambil kesempatan ini,” katanya.  

Matta Fair 2023 turut menyediakan perkhidmatan ulang-alik yang kerap dan percuma di tempat pengambilan dan penghantaran yang ditetapkan, khususnya di sekitar MITEC, iaitu di Hentian Duta, Kompleks Mahkamah, Masjid Wilayah, MITI & MATRADE. 

Lokasi lain, terutamanya yang terletak berhampiran dengan stesen MRT, sedang dirancang dan akan diumumkan pada masa yang sesuai.

Untuk maklumat lanjut dan terkini, layari laman web www.mattafair.org.my.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya