PETALING JAYA: Harga minyak yang tidak menentu bukan sahaja memberi kesan kepada pendapatan Petronas malah ia juga memberi kesan kepada hasil negara, menurut penganalisis ekonomi.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd. Rashid berkata, harga minyak yang tidak menentu akan memberi kesukaran kepada Petronas dalam perbelanjaan bagi aktiviti pembangunan.
Namun, katanya, kedudukan tunai bersih semasa Petronas kekal kukuh pada RM103 bilion, tertinggi sejak akhir 2018, dibantu lagi oleh harga minyak semasa yang kukuh.
“Pada tahun ini, Petronas menyasarkan dividen sebanyak RM35 bilion berbanding RM50 bilion pada 2022.
“Sasaran dividen sebanyak RM35 bilion adalah berdasarkan sasaran harga minyak mentah AS$90 setong.
“Dividen yang diturunkan dipercayai dapat memudahkan perbelanjaan modal petronas dan sekali gus dapat meningkatkan aktiviti tempatan yang lebih baik.
“Pemberian dividen Petronas kepada kerajaan dilihat dapat mengurangkan beban hutang kerajaan sekaligus meningkatkan aliran tunai kerajaaan.
“Persoalannya, adakah pendapatan Petronas akan stabil selamanya?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Jelasnya, dividen Petronas merupakan sumber pendapatan penting bagi kerajaan persekutuan, yang menjangkakan anggaran perbelanjaan RM55 bilion bagi pelbagai subsidi dan bantuan bagi membantu orang ramai menangani inflasi.
Katanya, berikutan pencerobohan Russia ke atas Ukraine, banyak negara telah berikrar meningkatkan tumpuan kepada tenaga boleh diperbaharui, yang boleh menggantikan beberapa bahan api fosil dalam penjanaan kuasa.
“Pengenalan cukai karbon sudah pasti akan memberi kesan negatif kepada industri minyak dan gas, walaupun kesan penuh daripada ini akan bergantung kepada sejauh mana pelaksanaannya.
“Oleh itu, wajar bagi kerajaan mempertimbangkan pelan kontingensi, sumber pendapatan alternatif dan mempelbagaikan sumber pendapatan pada masa hadapan.
“Pendapatan yang kukuh bukan sahaja dapat membantu dalam perbelanjaan kerajaan, malah kerajaan dapat mengekalkan jumlah subsidi yang diberikan secara tahunan terutamanya bagi makanan asasi rakyat.
“Dengan adanya sokongan pembukaan semula China dan tindak balas Bank of Japan yang memutuskan untuk mengekalkan faedah.
“Harga minyak pada masa depan kelihatan positif dan dijangkakan akan mencecah paras AS$100 setong pada sukuan pertama tahun ini,” katanya.
Setakat berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent yang juga penanda aras global susut 0.54 peratus kepada AS86.19, manakala WTI susut 0.53 peratus kepada AS$72.26 setong. – UTUSAN










