Kenaikan OPR bakal rugikan industri - Utusan Malaysia

Kenaikan OPR bakal rugikan industri

kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) akan merugikan industri dan memberi kesan besar kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang masih berusaha untuk pulih. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kenaikan berterusan Kadar Dasar Semalaman (OPR) untuk mengurangkan lebihan permintaan akan menyebabkan kerugian besar kepada industri dalam jangka masa pertengahan, kata Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta).

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, ekonomi sedunia sedang berada pada fasa peralihan, sekali gus bermaksud dasar monetari yang berkesan pada masa lalu mungkin kurang sesuai untuk keadaan yang luar biasa ketika ini.

“Seperti sedia maklum, inflasi dan kos sara hidup yang agak tinggi sekarang adalah antaranya disebabkan oleh gangguan rantaian bekalan ekoran pandemik Covid-19 serta bekalan dan permintaan terpendam sebelum ini. 

“Malaysia adalah antara ekonomi yang paling akhir dibuka semula. Oleh itu, sukar untuk sektor pembuatan negara memenuhi permintaan dalam negeri kerana perlu berebut dengan ekonomi lain untuk bahan mentah yang juga terhad buat masa ini. 

“Ini ditambah pula dengan kenaikkan mendadak gaji minimum dan kos seperti elektrik, menjadikan kos dan harga barang melambung,” katanya ketika dihubungi.

Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengumumkan kenaikan pertama OPR tahun ini pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) yang bakal diadakan pada 19 Januari ini.

Kenaikan tersebut bakal menjadikan OPR kepada 3.0 peratus berbanding 2.75 peratus yang diumumkan pada November tahun lalu.

William menegaskan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan terus menghadapi gangguan berterusan rantaian bekalan, kekurangan tenaga kerja mahir dan gangguan digital kepada operasi perniagaan pada tahun ini.

Menurutnya, pihaknya menjangkakan gangguan kepada rantai bekalan akan berterusan hingga penghujung 2023. 

“Ini bermakna kos bahan mentah akan terus berada pada tahap agak tinggi berbanding sebelum ini. 

“Namun, kami lihat adanya sedikit kelegaan dari segi rantaian bekalan, terutamanya dengan pembukaan semula sempadan di negara China serta penyederhanaan bekalan dan permintaan terpendam akibat penutupan sempadan dan sektor ekonomi sebelum ini,” ujarnya.

Tambahnya, PKS turut  menghadapi kekurangan tenaga kerja mahir, bukan sahaja buruh asing, tetapi terutamanya pekerja tempatan. 

“Kedua-dua faktor ini, iaitu kos bahan mentah yang tinggi akibat gangguan bekalan dan kekurangan pekerja akan terus menyekat kebolehan PKS untuk pulih ke tahap sebelum pandemik atau mengembangkan perniagaan mereka.

“Paling penting, saya berharap politik tempatan akan kekal stabil supaya keyakinan pengguna dan pelabur asing serta tempatan kembali seterusnya membantu ekonomi negara serta semua perniagaan terutamanya PKS,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.