PETALING JAYA: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dijangka berada dalam lingkungan 4.2 peratus hingga 5.5 peratus pada 2023 walaupun Malaysia berisiko berdepan kelembapan ekonomi.
Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia, Prof. Madya Dr. Rasidah Mohd. Rashid berkata, walaupun ketidakpastian menyelubungi pertumbuhan global terutamanya kerana kesan pengetatan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) yang agak berisiko, namun KDNK Malaysia suku ketiga 2022 meningkat kepada 14.2 peratus berbanding 8.9 peratus suku sebelumnya.
“Pertumbuhan itu adalah satu petanda yang baik dan menunjukkan adanya permintaan domestik yang menyokong pertumbuhan KDNK.
“Dengan itu, KDNK Malaysia dijangkakan berada dalam lingkungan 4.2 peratus hingga 5.5 peratus pada 2023.
“Secara keseluruhan, perubahan pada kadar dasar semalaman (OPR) juga akan mempengaruhi pertumbuhan KDNK.
“Oleh itu, sokongan dasar polisi yang berterusan daripada kerajaan dapat memberi sokongan kepada permintaan domestik yang lebih kukuh,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Rasidah berkata, negara bagaimanapun tidak terkecuali daripada menerima kesan kemelesetan ekonomi yang dijangka akan berlaku pada 2023.
Jelasnya, tekanan luar mungkin akan menjejaskan sentimen pengguna seterusnya memberi kesan kepada permintaan.
Ujarnya, sekiranya perkara itu berlaku, KDNK mungkin akan berada dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 4.0 peratus pada 2023.
“Saya percaya dan berharap, pertumbuhan Malaysia akan lebih kukuh dengan mengimbangi kesan eksport.
“Pembukaan semula ekonomi China juga dilihat dapat memberi sokongan kepada pertumbuhan ekonomi negara-negara Asian,” katanya.
Baru-baru ini, ahli ekonomi global telah menyemak semula unjuran pertumbuhan 2023 bagi Malaysia dan Indonesia, susulan permintaan domestik yang kukuh, menurut tinjauan baharu yang disusun oleh Pusat Penyelidikan Ekonomi Jepun (JCER) dan Nikkei, yang menekankan daya tahan ekonomi Asia Tenggara di tengah-tengah kemerosotan global.
JCER dan Nikkei menjalankan tinjauan konsensus suku tahunan terbaharu dari 25 November hingga 15 Disember lalu, dan telah menerima 34 jawapan daripada pakar ekonomi dan penganalisis dalam lima ekonomi terbesar ASEAN iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Negara dikaji mengunjurkan pengembangan keluaran dalam negara kasar yang lebih perlahan pada 2023 berbanding 2022 kerana dasar monetari bank pusat yang lebih ketat menyejukkan ekonomi.
Hanya Thailand diunjur berkembang lebih pantas pada 2023, hasil daripada jangkaan pemulihan dalam sektor pelancongan teras negara itu.
Namun, kadar pertumbuhan KDNK Malaysia dinaikkan sebanyak 0.2 mata kepada 4.2 peratus untuk 2023.
Selain itu, unjuran KDNK negara untuk 2022 turut dinaikkan kepada 8.5 peratus daripada 6.9 peratus sebelumnya, disokong oleh penggunaan domestik dan aktiviti perniagaan selepas pulih daripada wabak Covid-19. – UTUSAN










