Kadar pengangguran terus menurun

Kadar pengangguran terus menurun

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bilangan penganggur terus menurun kepada 600,900 orang, merekodkan kadar pengangguran pada 3.6 peratus, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, pasaran buruh terus kukuh selari dengan perkembangan aktiviti ekonomi semasa bagi November 2022.

Katanya, kedudukan tenaga buruh terus berkembang pada bulan tersebut dengan peningkatan berterusan dalam bilangan penduduk bekerja manakala bilangan penganggur berkurangan.

“Oleh itu, bilangan tenaga buruh kekal meningkat pada November, dengan pertambahan sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.71 juta orang (Oktober: 16.68 juta orang), sementara kadar penyertaan tenaga buruh naik sebanyak 0.1 mata peratus mencatatkan 69.8 peratus (Oktober: 69.7 peratus).

“Pada masa yang sama, bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.2 peratus bulan ke bulan kepada 16.11 juta orang (Oktober 2022: 16.08 juta orang).

Sementara itu, bilangan penganggur terus berada dalam trend penurunan dengan pengurangan sebanyak 0.2 peratus kepada 600,900 orang (Oktober 2022: 602,000 orang), mencatatkan
kadar pengangguran November pada 3.6 peratus,” katanya dalam kenyataan, sempena laporan Statistik Tenaga Buruh Malaysia, November 2022, semalam.

Mengulas kedudukan guna tenaga, beliau berkata, kategori pekerja yang merangkumi 75.8 peratus daripada jumlah penduduk bekerja terus mencatatkan peningkatan sebanyak 0.1 peratus kepada 12.21 juta orang pada November (Oktober: 12.20 juta orang).

Mohd. Uzir berkata, penduduk bekerja sendiri turut berada dalam trend menaik dengan peningkatan sebanyak 0.5 peratus kepada 2.85 juta orang pada bulan sama (Oktober: 2.83 juta orang).

“Mengikut sektor ekonomi, bilangan penduduk bekerja dalam sektor perkhidmatan terus meningkat, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit, perkhidmatan makanan dan minuman; dan maklumat dan komunikasi.

“Trend yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, pertanian dan perlombongan dan pengkuarian,” ujarnya.

Tambah beliau 81.2 peratus daripada jumlah penganggur pada bulan tersebut adalah mereka yang bersedia untuk bekerja dan aktif mencari pekerjaan atau penganggur aktif.

Jelasnya, kumpulan tersebut berada dalam trend penurunan selama 16 bulan berturut-turut dengan pengurangan sebanyak 0.7 peratus kepada 488,000 orang (Oktober: 491,300 orang).

“Bagi kumpulan tidak aktif, bilangan penduduk di luar tenaga buruh terus menurun dengan pengurangan sebanyak 0.02 peratus kepada 7.24 juta orang (Oktober: 7.24 juta orang).

“Pengoperasian berterusan kesemua aktiviti ekonomi dan sosial sehingga ke penghujung tahun 2022 telah membolehkan ekonomi negara terus berkembang pesat

“Sehubungan itu, pasaran buruh juga dijangka terus mengekalkan momentum pemulihan ke arah pasaran buruh yang lebih stabil dan akan lebih memberangsangkan sejajar dengan perkembangan positif ekonomi semasa, terutamanya pada awal 2023,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN