Kadar pengangguran 2023 dijangka terus menurun - Utusan Malaysia

Kadar pengangguran 2023 dijangka terus menurun

KADAR pengangguran di Malaysia kini turun kepada 3.4 peratus. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar pengangguran pada tahun ini dijangka akan terus menurun walaupun negara berdepan dengan masalah kemelesetan ekonomi, menurut Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF). 

Presidennya, Datuk  Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, kadar pengangguran di Malaysia masih dapat dikawal walaupun dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu.

“Menurut peruntukan Akta Kerja seksyen 60N,  jika ada keperluan untuk mengurangkan tenaga kerja, tenaga kerja tempatan tidak boleh ditamatkan melainkan majikan telah menamatkan pekerja asing di dalam pengajiannya yang melakukan kerja yang serupa dengan pekerja tempatan. 

“Sebagai contoh, dalam keadaan krisis kewangan tahun 2017/2018, Malaysia telah menghantar pulang kira kira 800,000 pekerja asing untuk memastikan pekerjaan pekerja tempatan dikekalkan. 

“MEF berharap dengan penubuhan kerajaan baharu, keadaan ekonomi negara akan berada di landasan yang betul walaupun ekonomi global tidak menentu dan dijangkakan lembap dalam tahun ini.

“Inisiatif untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan pengambilan pekerja asing akan membolehkan syarikat swasta beroperasi secara optimal tidak lama lagi dan akan dapat menyokong pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang dijangkakan antara 4.0 peratus hingga 5.0 peratus,” katanya kepada Utusan Malaysia. 

Baru-baru ini, bilangan penganggur terus menunjukkan penurunan kepada 600,900 orang pada November berbanding 602,000 pada Oktober tahun lepas, menurut Jabatan Perangkaan (DOSM)

Kadar pengangguran kekal 3.6 peratus, sambil DOSM menyifatkan penunjuk positif itu selaras perkembangan aktiviti ekonomi semasa dalam negara.

Sementara itu, Prof. Madya Felo Penyelidik Institut Dasar Ekonomi dan Kewangan (ECOFI) Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan perbankan Universiti Utara Malaysia, Dr. Shazida Jan Mohd. Khan berkata, sekiranya bilangan mereka yang bekerja terus meningkat maka tahun mencabar 2023 mampu melihatkan perkembangan ekonomi yang positif.

Jelasnya, bagi memastikan ia berlaku, adalah penting untuk kerajaan meneliti Bajet 2023 dari segi pasaran buruh bagi memastikan peningkatan daya tahan pasaran dan memantapkan pasaran buruh yang sedia ada. 

“Peruntukan bajet 2023 yang dibentangkan sebelum ini memperuntukkan RM99.7 billion yang untuk tiga tujuan utama iaitu memastikan bekalan buruh yang mencukupi melalui memperkasakan kumpulan B40, M40, wanita dan belia (RM8.6 bilion), memastikan peluang pekerjaan yang berterusan (RM80.9 bilion) serta pelbagai inisiatif mencari pekerjaan dan pemadanan untuk meningkatkan peluang pekerjaan (RM208 juta).

“Kepelbagaian insentif yang disediakan dilihat mampu menyediakan dan mengekalkan momentum pasaran buruh sedia ada,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun terdapat lonjakan jumlah pekerja namun isu kos sara hidup masih menjadi isu utama. 

“Peningkatan kos sara hidup masih terus menekan dan ini salah satu faktor mengekang pendapatan boleh guna.

“Kerajaan juga perlu memastikan pekerjaan yang tersedia adalah seimbang serta menepati kehendak pasaran pekerjaan. 

“Selain itu, kerajaan perlu menyediakan dan meneruskan inisiatif sedia ada bagi memastikan peluang pekerjaan sentiasa tersedia selain meningkatkan kebolehpasaran di setiap peringkat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.