ISKANDAR PUTERI: Pembukaan Jambatan Sungai Pulai diyakini mampu meletakkan Pontian sebagai destinasi utama pelaburan termasuk pelabur asing, sekali gus menjadi hab sosioekonomi baharu di Johor.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, projek prasarana awam itu bukan sahaja akan membawa peluang pekerjaan dan aktiviti ekonomi, malah meningkatkan nilai hartanah, menggalakkan pembangunan kawasan setempat, khususnya industri pelancongan ke Tanjung Piai dan Kukup.
“Sasaran pertumbuhan ekonomi sebegini perlu diampuhkan bukan sahaja dengan perancangan strategik yang radikal, malah lebih penting lagi adalah antara agensi kerajaan serta pihak swasta dalam pelaksanaan sesuatu projek.
“Jambatan Sungai Pulai ini adalah satu bukti yang jelas dan nyata akan penting serta berkesannta kerjasama awam-swasta dalam pembangunan infrastruktur,” katanya pada Majlis Pembukaan Jambatan Sungai Pulai di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan MMV Corporation Berhad (MMC), Tan Sri Che Khalib Mohamad Noh.
Sementara itu, Che Khalib berkata, projek pembinaan Jambatan Sungai Pulai yang menelan belanja RM800 juta itu menghubungkan Gelang Patah, Johor Bahru ke Tanjung Piai, Pontian.
Menurutnya, jambatan dan jalan sepanjang 7.5 kilometer itu dilengkapi laluan dua hala dengan dua lorong selain mempunyai laluan navigasi setinggi 25 meter (m) dan lebar 100 m untuk laluan kapal dagang.
Katanya, jambatan yang merentasi Sungai Pulai yang mula dibina pada November 2017 itu memberi laluan terus dari Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) ke Tanjung Bin, Pontian.
“Masa perjalanan asal selama lebih satu jam dari PTP ke Kukup, Pontian dapat dipendekkan hanya 30 minit.
“Secara tidak langsung akan mempercepatkan perjalanan dan aktiviti perniagaan bagi komuniti yang tinggal di dua daerah ini, sekali gus memberi kesan ekonomi yang positif di Gelang Patah dan Pontian,” katanya. – UTUSAN










