Haily Group Berhad peroleh kontrak RM52.3 juta - Utusan Malaysia

Haily Group Berhad peroleh kontrak RM52.3 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pakar pembinaan Haily Group Berhad memperoleh kontrak RM52.3 juta daripada Meridin East Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh Mah Sing Group Berhad untuk membina sebanyak 283 rumah teres dua tingkat. 

Projek yang merupakan kontrak ketiga daripada Mah Sing itu juga merupakan kontrak terbesar kumpulan sejak penyenaraiannya pada Julai 2021.

Anak syarikat milik penuh kumpulan, Haily Construction Sdn. Bhd., pada 15 Disember lalu telah menerima Surat Anugerah daripada Meridin East Sdn. Bhd. untuk pembinaan 283 unit rumah teres bersaiz 20x 70 meter persegi di Parcel 1C pembangunan Meridin East. 

Meridin East ialah perbandaran bersepadu terbesar Mah Sing di Gerbang Timur Iskandar Malaysia.

Bagi keseluruhan projek, Haily bertanggungjawab untuk pembangunan, mekanikal dan elektrikal, infrastruktur dan kerja-kerja landskap.

Pengasas dan Pengarah Eksekutif Haily Group Berhad, See Tin Hai berkata, kontrak baharu itu menandakan keyakinan pemaju terkenal seperti Mah Sing terhadap rekod prestasi dan kualiti kerja Haily. 

“Kumpulan melangkah ke tahun 2023 dengan landasan yang lebih kukuh. Kontrak terbaharu ini adalah projek terbesar kami setakat ini dan dijangka akan menyumbang dengan positif kepada pendapatan kami dalam tempoh dua tahun akan datang. 

“Dengan pemerolehan projek terbaru, buku pesanan kami pada masa ini membabitkan 24 projek yang sedang berjalan dengan jumlah nilai kontrak RM593.31 juta, dijangka siap secara berperingkat antara 2023 dan 2024,” katanya dalam kenyataan. 

Kontrak terbabit melibatkan dua fasa pembinaan, di mana di bawah Fasa 1, Haily akan membina sejumlah 128 unit rumah teres dua tingkat termasuk dua rumah contoh dan di bawah Fasa 2, kumpulan akan membina sejumlah 155 unit rumah teres dua tingkat. 

Fasa 1 membawa nilai kontrak RM23.82 juta, manakala Fasa 2 membawa nilai kontrak RM28.48 juta.

Kedua-dua fasa akan disiapkan dalam tempoh 15 bulan dari tarikh permulaan masing-masing. 

Fasa 1 dijangka bermula selewat-lewatnya pada 31 Mac 2023 manakala Fasa 2 dijangka bermula tidak lewat daripada 30 September 2023.

Imbas kembali, kontrak pertama yang diraih Haily daripada Mah Sing adalah pada Oktober 2021 bernilai RM24.5 juta dan melibatkan pembinaan 155 rumah teres dua tingkat di Parcel 2H1 perbandaran Meridin East. 

Pada September 2022, Haily memenangi kontrak kedua bernilai RM17.5 juta untuk membina 108 kediaman bertanah di Parcel 2H3 perbandaran Meridin East. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya