Dividen KWSP 2022 dijangka kekal atau lebih tinggi - Utusan Malaysia

Dividen KWSP 2022 dijangka kekal atau lebih tinggi

kwsp
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Agihan dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi 2022 dijangka kekal seperti tahun sebelumnya atau sedikit tinggi, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Program MBA, Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, kadar dividen mungkin kembali seperti pada 2018 iaitu 6.15 peratus untuk Simpanan Konvensional dan 5.9 peratus untuk Simpanan Syariah.

Katanya, ini berikutan jumlah pengeluaran pada 2022 yang lebih rendah berbanding 2021 yang membolehkan KWSP menggunakan lebih banyak duit caruman untuk tujuan pelaburan. 

“Namun, prestasi negatif oleh indeks saham global seperti S&P500, FTSE 100 dan KLCI menyebabkan KWSP tidak mampu mendapat pulangan pelaburan yang lebih tinggi memandangkan sebanyak 33 peratus pelaburan KWSP adalah pelaburan global.

“Jika dividen lebih rendah, maka kebarangkalian pencarum untuk mencapai jumlah minimum untuk bersara dengan selesa akan menjadi lebih rendah. 

“KWSP menjangka setiap pencarum perlu ada kira-kira RM240,000 apabila bersara tetapi pada masa kini peratusan yang bakal mempunyai jumlah tersebut apabila bersara amatlah rendah iaitu kurang dari 10 peratus,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ahmed Razman berkata, bagi meningkatkan lagi jumlah simpanan pencarum, KWSP boleh memberi galakan kepada majikan untuk menambah peratusan caruman dan juga membuka ruang kepada pihak ketiga untuk menambah caruman pencarum.

Ketika ditanya mengenai prospek pada 2023, beliau berkata, KWSP diunjurkan mencatatkan pulangan yang tinggi dari 2022.

“Masih ada peluang untuk KWSP mencatatkan pulangan yang lebih tinggi walaupun ekonomi global dijangka perlahan tahun ini. Ia bergantung kepada strategi pelaburan aset KWSP yang memfokuskan kepada pelaburan yang memberi pulangan yang tinggi,” jelasnya.

Pada 2021, pengurus dana persaraan itu mengumumkan dividen sebanyak 6.10 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 5.65 peratus untuk Simpanan Syariah.

KWSPmerekodkan jumlah pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.31 bilion bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, menurun 18 peratus atau RM8.71 bilion berbanding RM48.02 bilion dicatatkan dalam tempoh sama pada 2021.

Jumlah pendapatan pelaburan kasar bagi suku ketiga 2022 berakhir 30 September 2022 berjumlah RM12.32 bilion, merosot RM1.65 bilion atau 12 peratus berbanding RM13.97 bilion pada suku ketiga 2021. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya