Buka pusat optometri, mahu berkhidmat pada masyarakat

Buka pusat optometri, mahu berkhidmat pada masyarakat

SYAZWAN Hafiz Mohd. memberi penerangan mengenai penjagaan kesihatan mata kepada seorang kanak-kanak di Eyemolec Optometry Ladang, Kuala Terengganu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MINAT yang mendalam bidang peng­lihatan mendorong seorang pemuda, Syazwan Hafiz Mohd. membuka pusat optome­tri walaupun tidak mempunyai asas dalam perniagaan.

Berbekalkan semangat tinggi, anak muda berusia 33 tahun itu membuka sebuah pusat cermin mata, Eyemolec Optometry Ladang di Kuala Terengganu pada 1 Januari 2022 lalu.

Pada awalnya, Syazwan Hafiz yang memiliki kelulusan Ijazah Sarjana Sains Kesihatan (Optometri) dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawa­ngan Selangor Kampus Puncak Alam, Selangor terpaksa belajar berniaga dengan beberapa rakan-rakannya yang berjaya dalam perniagaan.

Pada masa sama, ibunya, Wan Nooriah Wan Sulaiman, 60, yang berniaga barangan kraf juga banyak memberi tunjuk ajar menjadi seorang peniaga yang berjaya.

“Walaupun setahun saya membuka pusat cermin mata ini, namun saya masih terus belajar untuk meningkatkan ilmu dalam perniagaan,” katanya ketika ditemui di pusat cermin mata, Eyemo­lec Optometry Ladang di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Anak sulung daripada tiga beradik itu berkata, beliau berpu­as hati apabila dapat berkongsi kepakaran dalam bidang penglihatan dengan membantu masyarakat meningkat keseda­ran terhadap kesihatan mata.

Jelasnya, pada waktu ini, masyarakat perlu mengambil berat terhadap kesihatan mata terutamanya golongan pelajar kerana mereka banyak menggunakan gajet.

“Kebanyakan masyarakat ma­­sih mengambil mudah dan tidak faham tentang kesihatan mata. Keadaan tersebut menyebabkan mereka tidak mela­kukan pemeriksaan mata.

“Saya gembira apabila pe­langgan mula memahami terhadap kepentingan menjaga kesihatan mata selepas berkongsi ilmu yang dipelajari selama ini,” ujarnya.

SEBAHAGIAN daripada cermin mata yang dijual di Eyemolec Optometry Ladang, Kuala Terengganu.

Dalam pada itu, Syazwan Hafiz memberitahu, beliau juga bersyukur perniagaan yang di­ceburi semakin mendapat sam­butan selepas setahun beropera­si di Jalan Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Bagaimanapun katanya, sebagai usahawan baharu, beliau perlu berusaha keras termasuk lebih berdaya kreatif dan inovasi untuk bersaing dengan pusat-pusat optometri lain.

Jelasnya, pusat optometri miliknya juga merupakan yang pertama di negara ini berkonsepkan butik bagi memberi kese­lesaan kepada pelanggan.

“Pelanggan yang memasuki pusat optometri ini merasakan mereka tidak berada di pusat cermin mata,” katanya.

Selain itu, beliau juga menggunakan wadah media sosial untuk memperkenalkan lagi pusat cermin mata ini terma­suk perkhidmatan dan promosi yang ditawarkan.

“Tanpa bantuan media sosial, saya rasa mungkin tidak mampu mencapai tahap sekarang,” tambahnya.

SYAZWAN Hafiz Mohd. berbincang dengan kakitangannya mengenai operasi Eyemolec Optometry Ladang.

Syazwan Hafiz berkata, pada masa ini, beliau menawarkan promosi yang menarik sempena sambutan ulang tahun pertama pembukaan Eyemolec Opto­metry Ladang.

Menurutnya, antara promosi yang menarik adalah harga bingkai cermin mata jenama terpilih hanya RM1 serta pakej cermin mata untuk pelajar pada harga RM58.

Katanya, promosi tersebut bermula 1 Januari hingga 31 Mac depan.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat mengenai pusat cermin mata, Eyemolec Optome­try Ladang dengan melayari Facebook: Eyemolec Optometry, Instagram: eyemolecoptometry dan tiktok:@eyemolecoptometryladang – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×