BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus

BNM kekalkan OPR pada 2.75 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus.

Bank pusat berkata, keputusan OPR pada hari ini membolehkan MPC menilai kesan pelarasan OPR secara kumulatif memandangkan kesan sela masa (lag effect) dasar monetari terhadap ekonomi.

“Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari kekal akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi. Langkah seterusnya untuk mengembalikan tahap akomodasi dasar monetari ke tahap yang wajar akan ditentukan oleh keadaan yang berubah-ubah dan kesannya terhadap prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri.

“MPC akan terus menetapkan dasar monetari yang mengimbangi risiko inflasi dalam negeri dan pertumbuhan yang mampan,” menurut kenyataan.

Menurut BNM, ekonomi global terus terjejas akibat tekanan kos yang kekal tinggi, kadar faedah yang lebih tinggi serta gangguan berkaitan COVID-19 di China.

Katanya, kesan faktor-faktor ini melebihi kesan sokongan daripada keadaan pasaran pekerja yang positif serta pembukaan semula sepenuhnya ekonomi dan sempadan antarabangsa.

“Inflasi keseluruhan menurun sedikit daripada paras tinggi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, namun inflasi teras terus kekal melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.

“Bagi menguruskan tekanan inflasi, bank-bank pusat dijangka terus menaikkan kadar faedah, meskipun pada kadar yang lebih perlahan. Tindakan ini akan menyebabkan prospek pertumbuhan global terus menghadapi rintangan.

“Namun, pertumbuhan di China dijangka bertambah baik apabila gelombang semasa Covid-19 di negara itu reda,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×