KUBANG PASU: Kumpulan Bina Darulaman Berhad (BDB) akan membangunkan projek Perbandaran Mampu Milik Darulaman Saujana dan Pelan Induk Pembangunan Bandar Darulaman 3.0 di daerah ini, antaranya melibatkan 3,000 unit rumah mampu milik.
Perancangan pembangunan bernilai RM667.5 juta itu sekali gus dilihat akan membawa lembaran baharu kepada daerah ini di samping merancakkan lagi pembangunan dan ekonomi Kedah untuk tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang.
Pengerusi BDB, Sr. Che Had Dhali berkata, pihaknya sebagai pemain utama dalam sektor pembangunan hartanah di Kedah menyedari permintaan rumah mampu milik yang semakin meningkat melibatkan golongan berpendapatan rendah dan sederhana di negeri ini.
“Perbandaran Darulaman Saujana itu bakal dibina atas tanah seluas 83 hektar dan akan memfokuskan kepada pembangunan perumahan mampu milik dan perumahan Dasar Kerajaan Negeri Kedah di Kubang Pasu yang dijangka dimulakan pada suku ketiga tahun ini,” katanya pada majlis pelancaran yang dirasmikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Tambahnya, komponen utama pembangunan antaranya pembinaan 1,438 unit rumah teres satu tingkat dan 192 unit rumah kluster berkembar satu tingkat yang akan dibina secara berfasa.
“Selain itu, Dasar Perumahan Negeri Kedah juga menjadi keutamaan BDB yang berhasrat membina 582 unit Rumah Kasih Rakyat dan 234 unit Rumah Aman Kedah serta 512 unit Rumah Makmur Kedah.
“Di samping itu, terdapat lot perniagaan terdiri daripada 21 unit kedai pejabat satu tingkat dan 30 unit kedai pejabat dua tingkat, dua lot tapak stesen minyak dan kemudahan awam seperti tapak masjid, sekolah, dewan serbaguna, tabika, padang permainan dan kemudahan landskap selain lokasi tumpuan riadah yang turut akan disediakan,” katanya.
Sementara itu, Che Had berkata, Bandar Darulaman sebagai perbandaran pertama yang dibangunkan BDB sejak 1984 di atas tanah seluas 898 hektar akan menerima sebuah lagi rancangan pembangunan lapan tahun iaitu Bandar Darulaman 3.0.
“Dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM740 juta, antara rancangan pembangunannya adalah Dataran Darulaman, Darulaman Park, dan Darulaman Hills di mana BDB meletakkan keyakinan penuh bahawa rancangan pembangunan ini bakal menjadikan ia sebuah perbandaran yang lebih moden dan maju,” katanya.
Beliau menambah, teras utama pembangunan Bandar Darulaman 3.0 adalah berkonsepkan kelestarian alam yang memberikan keutamaan kepada penggunaan tenaga boleh diperbaharui secara efektif serta menerapkan elemen rendah karbon dalam setiap aspek pembangunan.
“Fasa pertama pembangunan iaitu Dataran Darulaman akan melibatkan pembangunan atas tanah seluas sehektar di mana empat bahagian bangunan komersial dengan setiap satunya berkeluasan 557 meter persegi termasuk sebuah menara korporat.
“Fasa kedua pembangunan pula menyaksikan transformasi keseluruhan Darulaman Park di mana sebuah hab pembangunan bercampur di Bandar Darulaman, manakala fasa terakhir adalah projek perumahan di Darulaman Hills,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri berbesar hati dengan inisiatif BDB membangunkan projek berkenaan yang menyediakan rumah mampu milik untuk penduduk negeri ini.
“Dalam keadaan ekonomi hari ini tiada syarikat pemaju yang ada kesanggupan untuk menyediakan rumah mampu milik seperti ini,” katanya. – UTUSAN










