Bank Islam peruntuk RM190,000

Bank Islam peruntuk RM190,000 jayakan program `Jom ke Sekolah’

Wakil Bank Islam, Pejabat Pendidikan Daerah Kuching bersama 50 pelajar dan guru pengiring dari lima buah sekolah sekitar Kuching yang merupakan penerima sumbangan program ‘Jom ke Sekolah’ AMAL Bank Islam pada majlis yang berlangsung di Auditorium, Muzium Budaya Borneo.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bank Islam memperuntukkan RM190,000 daripada dana zakat dan dana tanggungjawab korporat bagi menjayakan program ‘Jom ke Sekolah’ pada tahun ini.

Peruntukan itu akan memanfaatkan 500 pelajar di Sarawak, Sabah, Selangor, Terengganu, Johor dan Perak.

Sempena pembukaan sesi persekolahan tahun 2023, Bank Islam hari ini menaja set kelengkapan sekolah kepada 50 pelajar daripada keluarga yang kurang berkemampuan di lima buah sekolah di Kuching.

Sekolah-sekolah terlibat adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Pajar Sejingkat, SK Tan Sri Datuk Dr Haji Sulaiman Daud, SK Astana, SK Rakyat Tupong dan SK Semerah Padi.

Menurut Bank Islam, setiap pelajar menerima sumbangan kelengkapan persekolahan bernilai RM300 berupa dua set pakaian seragam; dua set seluar sukan; beg dan alat tulis serta dua pasang kasut dan stokin.

“Selain itu, Bank Islam turut menaja pelajar-pelajar terbabit untuk meneroka pengalaman pembelajaran yang menarik di Muzium Budaya Borneo, Kuching,” katanya dalam kenyataan.

Penyerahan sumbangan ‘Jom ke Sekolah’ itu disempurnakan oleh Pengarah Wilayah Malaysia Timur Bank Islam, Zulkipli Mohamad Zen. Turut hadir, Pegawai Pendidikan Daerah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching, Hajah Shirini Mastura Mohamed Zulkifli serta guru besar dan wakil pendidik dari sekolah terlibat.

Menurut Zulkipli, inisiatif ‘Jom ke Sekolah’ merupakan satu wadah bagi Bank Islam untuk berkongsi rezeki dan kemakmuran yang diraih bersama komuniti di lokasi-lokasi operasinya.

Kata beliau, sebagai sebuah institusi kewangan patuh Syariah, Bank Islam tidak lupa akan tanggungjawab untuk menyediakan sokongan yang diperlukan, khususnya dengan masyarakat yang amat terkesan dengan keadaan ekonomi semasa yang mencabar serta kos sara hidup yang kian meningkat.

“Bagi meringankan perbelanjaan bagi persediaan persekolahan anak-anak mereka untuk sesi baharu tidak lama lagi, Bank Islam memperuntukkan RM38,000 untuk melaksanakan inisiatif ‘Jom ke Sekolah’ di Kuching, Sarawak.

“Kami berharap agar sumbangan ini akan memberi kelegaan kepada keluarga para pelajar ini kerana kelengkapan sekolah anak-anak mereka telah diuruskan. Semoga usaha ini juga dapat menyuntik semangat kepada para pelajar terlibat untuk ke sekolah dan menuntut ilmu demi masa hadapan yang cerah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN