PUTRAJAYA: Menteri Digital Gobind Singh Deo hari ini mengumumkan pelantikan lembaga pengarah pertama AI Malaysia Bhd, yang dipengerusikan oleh tokoh korporat Aireen Omar, dalam usaha memperkukuh kepimpinan dan tadbir urus institusi yang menerajui agenda kecerdasan buatan (AI) negara.
Beliau berkata lembaga pengarah AI Malaysia menghimpunkan pemimpin daripada sektor awam dan swasta yang mempunyai pengalaman dalam transformasi negara, dasar awam, ekonomi digital, pelaburan, teknologi dan inovasi AI.
“Pelantikan lembaga pengarah ini membawa kepimpinan strategik, tadbir urus yang baik serta kepelbagaian perspektif sektor awam dan swasta dalam melaksanakan mandat tersebut.
“Pelantikan ini juga memperkukuh keupayaan institusi dan tadbir urus AI Malaysia dalam melaksanakan mandat nasionalnya, sekali gus memacu agenda AI negara daripada strategi kepada pelaksanaan yang terselaras dan berimpak, berteraskan akauntabiliti serta kepentingan negara untuk jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AI Malaysia Bhd dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 28 Julai lepas sebagai institusi khusus untuk menerajui dan menyelaras agenda AI negara.
Sebagai agensi peneraju di bawah Kementerian Digital, AI Malaysia bertanggungjawab menyelaraskan agenda AI kebangsaan, mempromosikan penerapan AI yang selamat dan bertanggungjawab serta memacu Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026-2030 ke arah mencapai sasaran Negara AI 2030.
Selain Aireen, yang kini merupakan ahli lembaga pengarah Tune Protect Group Bhd dan Profesor Adjung di Universiti Malaysia Sabah, empat lagi individu dilantik sebagai pengarah.
Mereka ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital Datuk Fabian Bigar; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Digital) Kementerian Digital M. Ma Sivanesan; Ketua Pegawai Teknologi Digital Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Muhammad Afhzal Abdul Rahman dan Pengerusi Trendcell Sdn Bhd serta Pengarah MyTeksi Sdn Bhd Adelene Foo Yen Ling. -BERNAMA










