PETALING JAYA: Sempena sambutan Tahun Baharu Cina (CNY), Agrobank melancarkan Kempen CNY Huat Ah untuk memupuk pengurusan kewangan yang baik menerusi perkhidmatan penyimpanan di bank berkenaan.
Kempen itu mengetengahkan dua mini kempen iaitu Kempen Menang Angpau RM888 – Deposit Bonanza dan Kempen Extravaganza FRIA-i yang merupakan antara inisiatif Agrobank untuk memupuk budaya bijak berbelanja.
Bagi menggalakkan amalan menyimpan, pelanggan boleh menjana keuntungan menerusi simpanan berjangka dengan kadar keuntungan yang kompetatif iaitu 4.25 peratus bagi tempoh 12 bulan menerusi Kempen Extravaganza FRIA-i dan akaun simpanan melalui Kempen Menang Angpau RM888 – Deposit Bonanza.
Pengerusi Agrobank, Datuk Yunos Abd. Ghani berkata, Agrobank sentiasa memberikan galakan dan bimbingan kepada pelanggan dan pemegang taruh khususnya dalam menguruskan kewangan kerana pengurusan kewangan yang baik dapat membantu dalam menjana pendapatan dan memantau aliran tunai perniagaan.
“Huat bermaksud ‘kemakmuran’ Agrobank percaya bahawa pelanggan mempunyai keazaman untuk mempunyai kemakmuran dalam kewangan dan ‘kebebasan kewangan’ (financial freedom) bagi menjamin masa hadapan yang lebih baik.
“Menyedari tentang pentingnya usaha ini, Agrobank memperkenalkan Kempen Huat Ah khusus untuk menggalakkan pelanggan untuk menyimpan menerusi simpanan berjangka di Agrobank,” kata beliau dalam kenyataan sempena pelancaran kempen berkenaan.
Kempen tersebut telah dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin di Kota Kinabalu, Sabah.
Foong Hin berkata, perkhidmatan Agrobank tidak hanya terhad kepada pembiayaan bagi memacu sektor agromakanan, ia juga meliputi pelbagai produk konsumer yang lain seperti simpanan berjangka, takaful, pengurusan wasiat dan
lain-lain.
“Golongan B40 dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merupakan antara yang mudah terkesan dengan sebarang impak oleh ketidaktentuan ekonomi, oleh itu, inisiatif Agrobank menerusi Kempen Huat Ah ini adalah bertepatan bagi memupuk budaya menyimpan dalam kalangan masyarakat kita,” katanya.
Terdahulu, Agrobank telah menganjurkan program ’Huat Ah Shopping Spree’, sebuah inisiatif julung kalinya diadakan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan meringankan beban pelajar-pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina daripada latar belakang keluarga B40 di sekitar Kota Kinabalu menjelang sambutan Tahun Baharu Cina.
Turut hadir pada majlis pelancaran Kempen Huat Ah ini adalah Presiden / Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Penolong Setiausaha Kanan (Dasar), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Abszra Davadason Peter. – UTUSAN










