WMoto XDV250i-Skuter kembara Off Road mampu milik

WMoto XDV250i-Skuter kembara off road mampu milik

WMOTO moto XDV250i, gagah bergaya. - UTUSAN/ANUAR NORICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak dapat dinafikan lagi, pasaran motosikal skuter kini menjadi kegilaan ramai. Sementara status skuter ‘maxi’ terbaik 250cc masih menjadi perdebatan antara peminat skuter tempatan, kini muncul pula skuter kembara atau adventure. Apa itu skuter kembara? Secara umumnya, ia sebuah skuter yang boleh ditunggang di laluan-laluan tanpa permukaan tar, atau lebih dikenali sebagai off road.

Untuk lebih terperinci, skuter adventure ini harus mempunyai dua perkara: Pertama, jarak tapak casis jentera ini haruslah mempunyai ketinggian yang lebih daripada jentera jalan raya (dalam hal ini, berban­ding skuter biasa); Kedua, kuasa tujahan atau pickup yang kuat untuk membolehkan jentera ini bergerak dalam keadaan bukit bukau, tidak rata serta berpasir atau berbatu.

Honda telah terlebih dahulu mempelopori kategori ini dengan pengenalan Honda XADV 750, sebuah skuter yang dipasarkan untuk tujuan tunggangan pengembaraan, sama ada atas jalan bertar atau pun tidak. Model ini agak popular, walaupun harga jualannya melebihi RM70,000 seunit, jualannya tetap memberangsangkan sehingga permintaan telah melebihi penawaran. Honda juga menerima banyak permintaan supaya versi yang lebih kecil CCnya untuk peminat rekaan kembara dan Honda telah memenuhi permintaan tersebut dengan terjualnya model ADV 150 pada 2021 dengan harga hampir RM12,000.

Ternyata jualan skuter mirip XADV ini terjual dengan larisnya, namun begitu, masih ada yang mengeluh kerana ADV ini menggunakan enjin 150 yang dikatakan enjin PCX 150 (walau ada yang mengatakan ia daripada enjin Vario 150, namun saya merasakan enjin vario terasa le­bih bertenaga daripada ADV150 ini). Apabila mereka yang lebih memikirkan soal kuasa enjin berbanding har­ga jualan, akan merasakan ADV adalah lebih kepada keindahan kosmetik berban­ding prestasi enjin.

Kehadiran WMoto de­ngan jentera XDV250i ini dan dipasarkan dengan harga RM18,888 untuk versi standard, dirasakan satu pilihan yang lebih relevan dan masuk akal. Begitupun, ada suara-suara sumbang mengatakan bahawa jentera ini yang didatangkan dari China, belum tentu berkualiti seperti jentera dari negara matahari terbit. Maka, pemilik suara itu ternyata adalah tergolong ripada ‘katak bawah tempurung’, kerana hampir semua industri automotif te­lah berpindah kepada pemasa­ngan atau pembuatan di China, termasuk juga jenama-jenama elit dari Eropah.

Pemandangan bagi penunggang WMoto.

PENAMPILAN

Anda tidak salah sekiranya menganggap ia adalah klon jentera XADV atau ADV. Terdapat iras-iras rekabentuk, dan dengan versi warna merah turut menambah kekeliruan. Begitu pun, sekiranya anda meletakkannya secara bersebelahan, dapat anda lihat terdapat beberapa perbezaan antara keduanya.

XDV menggunakan bar pemegang versi terbuka, sesuai dengan imejnya yang memaparkan motosikal lasak. Malah, handelnya adalah jenis boleh dilaras mengikut keselesaan anda sama ada inginkan pemegang yang lebih menegak atau lebih menunduk. Panel-panel suis pada tombol kiri dan kanan handlebar juga dilengkapi dengan lampu latar yang menaikkan ketrampilan terutama ketika menunggang dalam kegelapan malam.

Skrin penghadang anginnya jenis boleh dilaras secara manual bagi membolehkan penunggang mendapat perlindungan angin secara maksimum.

Tapak pemegangnya tercetak perkataan KEEWAY iaitu sebagai menandakan jenama yang bertanggungjawab terhadap kejuruteraan jentera ini. XDV dilengkapi dengan sistem brek ABS channel berkembar dan penggunaan kaliper brek daripada jenis J.Juan, iaitu sebuah jenama yang sedang meningkat popular yang mula diperkenalkan di peringkat perlumbaan motosikal dunia. Penggunaan penyerap hentakan hadapan jenis terbalik (upside down forks) dan jenis berkembar di belakang, serta memberikan prestasi lebih dengan jenis boleh laras serta berjanama KYB atau Kayaba, ternyata mengujakan bagi pencinta-pencinta dua roda yang tahu akan kualiti jenama tersebut.

Pelana tempat duduk sangat selesa dan ruang simpanan di bawahnya, walau pun hanya muat untuk menyimpan satu unit helmet penuh muka, masalah ini sudah tentu dapat diatasi dengan mudah kerana ramai yang akan memasang kotak penyimpan barang untuk membolehkan lebih banyak ruang penyimpanan barangan. Terdapat juga ‘suis pintas’ untuk anda membuka pelana bagi akses ke ruang simpanan barangan di sebelah kanan tombol suis.

Terlanjur mengetengahkan topik kotak penyimpan barangan ini, XDV didatangkan dengan satu lagi versi bernama PROJEK X, iaitu dikhususkan untuk penunggang yang ingin menambah satu lagi fungsi pada jentera ini iaitu versi touring atau jentera jarak jauh. Versi ‘PROJEK X” dijual pada harga RM21,888 kerana didatangkan dengan tiga kotak penyimpan barangan (side boxes dan top box), serta roda berjejari yang sinonim dengan jentera-jentera kembara.

Lampu belakang jenis LED yang unik.

PENUNGGANGAN

Tidak dapat tidak, saya mengujinya di laluan-laluan dalam ladang kelapa sawit, kawasan berbatu serta lorong-lorong ‘tikus’ untuk mendapatkan reaksi hasil daripada ujian ini.  Enjin 244cc, 4 lejang, silinder tunggal dengan 4 injap mampu menghasilkan kuasa 24.8Hp pada kadar 8,750rpm dan kuasa tork maksimum sebanyak 23.0Nm pada kadar 6,750rpm, lengkap dengan sistem penyejukan cecair, tidak mengecewakan ketika menunggangnya secara ekstrim seperti mendaki bukit-bukit yang agak curam.

Penyerap hentakan KYB sangat-sangat efisien dan sistem brek J.Juan ternyata berfungsi dengan sangat baik dan bagi saya kedua-dua faktor ini adalah antara faktor yang menjadikan jentera ini sangat seronok ditunggang. Pengendalian yang jitu dan senang menjadikan XDV ini berbaloi dimiliki terutama dengan harga yang ditawarkan oleh WMoto.

Namun, adakah ia sempurna 100 peratus? Saya dapati tempat pemijak kaki penunggang yang agak pelik keberadaannya apabila ia menjunam kehadapan dan tidak mendatar seperti kebanyakan skuter-skuter lain. Kaki anda akan lebih terlipat sekiranya meletakkan tapak kaki anda lebih ke belakang. Faktor kelemahan kedua yang saya dapati adalah sistem ABS 2 channel ini walaupun berfungsi dengan baik dan amat-amat berguna ketika di atas jalan raya, namun sekiranya ia boleh ditutup fungsinya ketika tunggangan atas ‘off road’, dan membolehkan penunggang membuat ‘slide’ atau gelinciran yang lebih menyeronokkan ketika tunggangan atas permukaan berpasir atau berbatu.

WMOTO mampu ditunggang ke mana sahaja.

KESIMPULAN

WMOTO XDV250i atau nama asal dari “surat beranak”nya iaitu LONG JIA XDV 250i yang telah dipasang sepenuhnya di Malaysia, sebenarnya adalah versi ekstrim daripada model WMoto ES250i. Maka dari situlah huruf “X” tersebut ditambah pada singkatan huruf DV yang bermaksud pengembaraan ekstrim.

Adakah ia berbaloi dimilikki? Harga pasaran kurang RM20,000 tetapi memiliki kapasiti dan kuasa motosikal 250cc, rekaan yang terkini dan diminati ramai, sudah pasti membuat ramai yang tidak lena tidur. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN