PETALING JAYA: Malakoff Corp. Bhd. mencatatkan lonjakan 53.4 peratus dalam keuntungan bersih pada suku ketiga berakhir 30 September kepada RM66.5 juta, berbanding RM43.37 juta yang direkodkan dalam suku yang sama tahun lalu.
Hasil bagi suku itu juga meningkat dua kali ganda kepada RM3.8 bilion berbanding RM1.6 bilion pada 2021, disebabkan terutamanya oleh pembayaran tenaga yang lebih tinggi direkodkan daripada Tanjung Bin Power Sdn. Bhd. (TBP) dan Tanjung Bin Energy Sdn. Bhd. (TBE) berikutan harga arang batu (ACP) yang lebih tinggi.
Untuk sembilan bulan pertama, Malakoff mencatatkan untung bersih RM213.2 juta atau pendapatan sesaham 4.36 sen daripada hasil berjumlah RM7.4 bilion.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, pihaknya optimis dapat mengekalkan prestasi yang memuaskan bagi keseluruhan tahun ini.
Ujarnya, Malakoff juga mengemukakan agenda kemampanannya untuk menyokong komitmen kerajaan terhadap kelestarian alam sekitar.
“Dasar Tenaga Negara 2022-2040 yang dikeluarkan oleh kerajaan pada 19 September telah merangka langkah ke hadapan secara strategik dan menggariskan keutamaan utama bagi sektor tenaga pada tahun-tahun akan datang.
“Dengan ini, Malakoff terus memajukan peralihan kepada tenaga yang lebih bersih sambil meneroka pelbagai strategi untuk mengurangkan jejak karbon kami dengan ketara,” katanya dalam kenyataan.
Beliau menjelaskan, walaupun pertumbuhan Malakoff dalam sektor solar sangat menggalakkan, pihaknya juga meneroka usaha penyahkarbonan pada aset terma Kumpulan melalui pembakaran bersama hidrogen atau ammonia dan biojisim.
“Kumpulan telah berjaya memasang dan menugaskan 20.6 MWp projek solar atas bumbung setakat ini, sementara kami mempercepatkan pertumbuhan segmen solar kami.
“Anak syarikat Alam Flora, Alam Flora Environmental Solutions (AFES), baru-baru ini telah menubuhkan kemudahan Pengurusan Sisa Inert seluas 3.64 hektar di Kuantan, Pahang untuk menguruskan sisa daripada pembinaan, pengubahsuaian dan perobohan bangunan atau premis di daerah tersebut.
“Kemudahan inisiatif hijau ini dianggarkan dapat menguruskan jumlah sisa sebanyak 120 hingga 170 tan sehari dan akan menjadi batu loncatan ke arah kelestarian alam sekitar melalui ekonomi pekeliling,” katanya. – UTUSAN










