PETALING JAYA: UEM Sunrise Berhad (UEM Sunrise) menerusi anak syarikat milik penuh tidak langsungnya, Nusajaya Rise Sdn. Bhd. memeterai perjanjian jual beli dengan Nusajaya Tech Park Sdn. Bhd. (NTPSB) untuk penjualan tanah seluas kira-kira 94.9 hektar di Gerbang Nusajaya, Iskandar Puteri, Johor dengan nilai pertimbangan sebanyak RM289.2 juta.
NTPSP adalah syarikat usaha sama yang dimiliki oleh UEM Land Berhad, anak syarikat milik penuh UEM Sunrise dan Ascendas Land (Malaysia) Sdn. Bhd., anak syarikat tidak langsung CapitaLand Development Singapura.
Menurut kenyataan syarikat itu, transaksi tersebut adalah pengembangan Nusajaya Tech Park sedia ada, sebuah taman industri bersepadu bertaraf dunia dengan infrastruktur, reka bentuk dan kemudahan mesra alam dengan diselenggarakan dengan baik.
Melalui pengambilalihan tersebut, NTPSB akan memiliki dan membangunkan taman perindustrian seluas 150.1 hektar, menawarkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.5 bilion untuk dibangunkan dalam tempoh antara lapan hingga 10 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif UEM Sunrise, Sufian Abdullah berkata, pihaknya telah bekerjasama dengan CapitaLand sejak 2012 apabila syarikat memulakan pembangunan pemangkin di Iskandar Puteri, bersesuaian dengan peranan mereka sebagai pemaju induk untuk perbandaran itu.
Katanya, CapitaLand mempunyai kepakaran dan rekod prestasi yang melengkapkan keperluan syarikat.
“Nusajaya Tech Park yang beroperasi hari ini adalah bukti kerjasama yang berjaya. Kewujudannya telah memberi impak yang besar kepada Gerbang Nusajaya dan Iskandar Puteri secara keseluruhannya.
“Kami yakin bahawa pengembangan fasa perindustrian baharu di Nusajaya Tech Park akan terus merangsang aktiviti ekonomi, menarik pelabur dan membolehkan lebih banyak syarikat berpindah ke Iskandar Puteri,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan tersebut juga mengukuhkan lagi komitmen syarikat untuk menarik pelaburan langsung asing ke Johor, sejajar dengan aspirasi kerajaan negeri untuk menampilkan Johor sebagai hab destinasi yang diinginkan untuk pelaburan dan pembangunan.
“Ini seterusnya akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan di wilayah selatan,” ujarnya. – UTUSAN










