PETALING JAYA: Shell New Ventures Malaysia Sdn. Bhd. (Shell Malaysia) dan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah menandatangani perjanjian kerjasama pada 12 Oktober 2022 untuk meneroka bersama pembangunan Hab Penyerapan Karbon di Malaysia.
Menurut kenyataan Shell Malaysia, perjanjian itu mengukuhkan komitmen kedua-dua pihak untuk penerokaan dan penilaian bersama formasi geologi serta pembangunan dan operasi Hab Penyerapan Karbon yang berpotensi di luar pesisir Sarawak.
Katanya, ia bagi penyediaan perkhidmatan penyahkarbonan kepada pelanggan serantau merentas sempadan termasuk tetapi tidak terhad kepada molekul sumber Kumpulan Shell dari Singapura dan peluang masa depan global yang lain.
Pengerusi Shell Malaysia, Datuk Ivan Tan berkata, perjanjian kerjasama tersebut diadakan berdasarkan perjanjian kajian dan kerjasama bersama yang ditandatangani sebelum ini dengan Petronas pada 2021.
“Perjanjian ini adalah peristiwa penting dalam mematangkan penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS) sebagai penyelesaian penyahkarbonan berskala komersial untuk industri di Malaysia dan seterusnya.
“Kami berharap dapat meneruskan kerjasama kami dengan Petronas untuk bersama-sama membangunkan penyelesaian CCS yang boleh dipercayai dan dipacu oleh teknologi di Malaysia,” katanya.
Tambah Shell Malaysia, CCS amat penting untuk industri berat, seperti menghasilkan keluli, simen atau bahan kimia atau stesen janakuasa yang menggunakan hidrokarbon untuk menjana elektrik, di mana ada pada masa ini tiada alternatif karbon rendah berskala.
Sasaran Shell adalah untuk menjadi perniagaan tenaga pelepasan sifar bersih menjelang 2050.
Strategi CCS Shell ialah tonggak utama sasaran iklimnya dan cita-cita tersebut adalah untuk mempunyai akses kepada sekurang-kurangnya 25 juta tan kapasiti CCS setahun menjelang 2035. – UTUSAN










