Senai Airport City lupus tanah perindustrian kepada Fiffy - Utusan Malaysia

Senai Airport City lupus tanah perindustrian kepada Fiffy

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Senai Airport City Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh tidak langsung MMC Corporation Berhad dan Fiffy Sdn. Bhd. telah menyempurnakan Perjanjian Jual Beli (SPA) bagi pelupusan sebidang tanah perindustrian di Senai Airport City (SAC) pada 30 November lalu.

Tanah berkeluasan kira-kira 9.72 ekar bernilai RM23.3 juta itu menjadi pilihan Fiffy, salah satu jenama produk bayi tempatan terkemuka di Malaysia sebagai tapak pilihan untuk ibu pejabat baharunya, bersama dengan pengembangan kemudahan pembuatan dan gudangnya di Johor.

Ketua Pegawai Eksekutif Fiffy, Lee Siew Mui berkata, Fiffy kini mempunyai tiga pusat pengedaran yang mengedar ke lebih 700 cawangan dan 17 butik di seluruh negara. 

“Pascapandemik telah memperhebatkan pasaran pengguna e-dagang di dalam dan juga serantau. Justeru, kami melihat keperluan untuk lokasi yang strategik untuk rangkaian pengedaran gudang Fiffy sebagai strategi perniagaan jangka panjang dan kami yakin Senai Airport City adalah pilihan yang tepat. 

“Kawasan ini adalah pembangunan industri bersepadu yang terancang dengan ketersambungan logistik strategik ke tiga persimpangan utama Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya Senai-Desaru dan Lebuhraya Link Kedua, selain dua pelabuhan laut di Johor dan tiga lapangan terbang antarabangsa.

“Ini pasti akan meningkatkan fleksibiliti operasi Fiffy dalam jangkauan pasaran antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kemudahan baharu itu akan dibina dengan menggabungkan aplikasi Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) seperti sistem siber-fizikal, kecerdasan buatan, pengkomputeran kognitif dan penderia pintar untuk memastikan proses rantaian bekalan pengurusan yang cekap dalam rangka kerja alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). 

“Pembangunan kemudahan baharu itu akan selaras dengan cadangan nilai SAC dalam menyasarkan industri pembuatan bersih dan berteknologi tinggi yang telah menarik pelaburan langsung asing (FDI) dan pelaburan langsung domestik (DDI) yang bereputasi terutamanya daripada logistik dan pergudangan, elektrik dan elektronik, teknologi hijau dan segmen industri kenderaan elektrik,” ujarnya.

Tahun lalu, Senai Airport City telah merekodkan jualan tanah berjumlah 140 ekar kepada pengguna akhir terkenal seperti Tiong Nam Logistics Sdn. Bhd. dan Wiwynn Technology Service Malaysia Sdn. Bhd, yang telah memilih Senai Airport City untuk menubuhkan hab serantau mereka bagi memberi perkhidmatan kepada Rantau Asia Pasifik (APAC) yang menyasarkan untuk memulakan operasi tahun depan.

Sementara itu, Ketua Jualan dan Pemasaran Senai Airport City Sdn. Bhd., Claudia Wong berkata, proposisi nilai SAC bagi model pembangunan Plug-and-Play dengan plot industri yang lengkap, infrastruktur dan utiliti memberi jaminan kepada pelabur dan mempercepatkan garis masa pembangunan pelabur.

“Kelebihan daya saing SAC juga kerana lokasinya yang strategik dalam lingkungan ekosistem industri matang di daerah Senai-Kulai, menjadikan SAC pilihan bagi banyak syarikat multinasional.

“Kami juga optimis terhadap kadar perolehan jualan bagi tahun kewangan 2023 memandangkan syarikat telah memuktamadkan rundingan untuk kira-kira 149 ekar tanah di SAC dengan beberapa syarikat multinasional,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.