Kementerian bincang turunkan harga perkhidmatan telco

Kementerian bincang turunkan harga perkhidmatan telco

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
FAHMI FADZIL

PETALING JAYA: Kementerian Komunikasi dan Digital sedang mengadakan perbincangan de­ngan syarikat telekomunikasi (telco) bagi menurunkan harga perkhidmatan telekomunikasi di negara ini.

Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telco melakukan kajian bagi memenuhi aspirasi rakyat yang inginkan perkhid­matan telekomunikasi lebih murah.

“Saya sedang bincang dengan MCMC dan telco apa yang boleh kita buat untuk kurangkan kos. Ramai anak muda harapkan harga internet dan talian lebih murah, jadi saya minta mereka kaji apa yang kita boleh lakukan sekarang.

“Mungkin dalam minggu yang akan datang saya ada pe­ngumuman khas,” katanya dalam slot program ALFA yang bersia­ran di Facebook Nasional FM semalam.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga sedang meneliti langkah terbaik yang boleh dilakukan bagi meningkatkan mutu perkhidmatan serta me­ngatasi isu capaian rangkaian 4G dan 5G yang dihadapi di sesetengah kawasan di negara ini.

“Kita sedang bercakap tentang 5G, ada negara lain dah mula bincang tentang 6G. Jadi kita kena ada pergerakan yang lebih cepat dan sebagai menteri saya kena teliti apa yang boleh dilakukan untuk bantu proses itu,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan penghasil kandungan (content creator) di pelbagai platform sosial media supaya menghormati undang-undang negara ini ketika berkarya.

“Ada batas-batasnya. Kita raikan hak untuk bersuara, raikan hak untuk berekspresi tapi kita perlu hormat undang-undang kerana ada di dalam Rukun Negara…Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang,” katanya.

Sementara itu, ketika bercakap dalam program Face to Face di Traxx FM, Fahmi berkata, pentadbiran baharu di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serius menangani isu keselamatan siber dan perlindungan data di negara ini.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan penyedia media sosial dan peruncit dalam talian berhubung perkara itu.

“Data peribadi adalah unik kepada kami. Jadi, apabila kita mempunyai pemahaman itu, kita tidak akan begitu mudah untuk memberikan data.

“Inilah sebabnya saya akan mengadakan penglibatan de­ngan Meta, TikTok dan Twitter serta peruncit dalam talian untuk memastikan mereka bergerak seiring dengan masa. Mereka faham bahawa pentadbiran ini serius tentang keselamatan siber, perlindungan data, dan mereka juga bertindak balas terhadap undang-undang tempatan kita,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×