Jualan perdagangan borong dan runcit naik 15.2% - Utusan Malaysia

Jualan perdagangan borong dan runcit naik 15.2%

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jualan perdagangan borong dan runcit Malaysia bertumbuh 15.2 peratus tahun ke tahun untuk mencapai RM133.9 bilion, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM). 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, peningkatan bagi perdagangan borong dan runcit pada Oktober disumbangkan oleh subsektor perdagangan runcit yang meningkat RM12.0 bilion atau 26 peratus kepada RM58.3 bilion.

“Perdagangan borong dan kenderaan bermotor juga masing-masing berkembang sebanyak 7.3 peratus kepada RM59.9 bilion dan 11.2 peratus kepada RM15.7 bilion.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, nilai jualan perdagangan borong dan runcit menyusut -0.1 peratus disumbangkan oleh subsektor kenderaan bermotor dan perdagangan borong yang menurun masing-masing sebanyak -3.5 peratus dan -0.3 peratus,” katanya dalam kenyataan. 

Bagi prestasi mengikut subsektor, Mohd. Uzir berkata, pertumbuhan subsektor perdagangan runcit sebanyak 26.0 peratus pada Oktober 2022 disokong oleh jualan runcit di kedai bukan pengkhususan yang meningkat 25.7 peratus atau RM4.4 bilion kepada RM21.6 bilion.

Ujarnya, subsektor perdagangan borong pula mencatatkan kenaikan 7.3 peratus disumbangkan oleh Lain-lain pengkhususan jualan borong yang bertumbuh 3.1 peratus atau RM0.7 bilion kepada RM22.7 bilion.

Mohd. Uzir menjelaskan, pertumbuhan 11.2 peratus dalam subsektor kenderaan bermotor bulan ini disumbangkan oleh jualan alat ganti dan aksesori kenderaan bermotor, sebanyak 49.2 peratus atau peningkatan RM1.3 bilion kepada RM4.0 bilion.

“Indeks jualan runcit melalui internet untuk Oktober 2022 merekodkan pertumbuhan 17.3 peratus tahun ke tahun berbanding 16.6 peratus pada tahun September lalu. 

“Bagi pelarasan musim, indeks naik 2.6 peratus berbanding bulan sebelumnya. Bagi indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Oktober 2022 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 10.5 peratus, disumbangkan oleh perdagangan runcit dan kenderaan bermotor yang meningkat masing-masing 22.3 peratus dan 3.0 peratus.

“Perdagangan borong juga mencatatkan pertumbuhan positif 0.8 peratus, namun bagi indeks volum pelarasan musim, ia menurun 2.3 peratus bulan ke bulan,” katanya.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.