PETALING JAYA: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) merekodkan jualan tertinggi sebanyak RM3.84 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022, melepasi sasaran RM3.5 bilion dan rekod tertinggi sebelumnya iaitu RM3.82 bilion pada 2016.
Menurut kenyataan syarikat itu, empat taman perniagaan Kumpulan iaitu Eco Business Parks I, II dan III di Iskandar Malaysia dan Eco Business Park V di Lembah Klang menutup tahun ini dengan jualan gabungan RM753.3 juta.
Katanya, ia adalah 156 peratus daripada jualan taman perniagaan tahun kewangan 2021 dan lebih tiga kali ganda jumlah yang dicatatkan pada tahun kewangan 2020 iaitu RM220.4 juta.
“Sebanyak RM446.3 juta hartanah komersial telah dijual pada 2022. Ini terutamanya terdiri daripada kedai pejabat untuk memberi perkhidmatan kepada penduduk yang semakin meningkat di perbandaran EcoWorld Malaysia dan menawarkan kemudahan gaya hidup di depan pintu untuk siri apartmen ‘duduk’ Kumpulan yang sangat popular.
“Jumlah jualan kediaman melebihi RM2.3 bilion. Keputusan strategik Kumpulan pada TK2022 untuk melancarkan lebih banyak peningkatan dan rumah mewah di ketiga-tiga wilayah operasi membuahkan hasil yang sangat positif.
“Hampir RM1.7 bilion rumah berharga melebihi RM650,000 telah dijual, mewakili 44 peratus daripada jumlah jualan. Rumah berharga di bawah RM650,000 juga merupakan komponen besar dalam portfolio dengan jualan RM648.9 juta dicapai tahun ini,” katanya, semalam.
EcoWorld Malaysia berkata, keuntungan selepas cukai (PAT) bagi operasi Malaysia adalah sebanyak RM96.7 juta bagi suku keempat berakhir 31 Oktober 2022, bersamaan 34.4 peratus daripada PAT keseluruhan tahun kewangan.
Namun begitu, jumlah tersebut adalah 11.7 peratus lebih rendah daripada yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya disebabkan oleh beberapa fasa aktif telah siap pada suku keempat 2022.
Dalam pada itu, pemaju hartanah itu berkata, PAT bagi keseluruhan operasi di Malaysia bagi tahun kewangan 2022 adalah RM281.3 juta, 32.2 peratus lebih tinggi daripada RM212.8 juta yang direkodkan tahun sebelumnya.
“Ini dipacu oleh peningkatan dalam margin keuntungan kasar Kumpulan daripada 20.7 peratus pada 2021 kepada 24 peratus pada 2022, penjimatan berterusan ke atas perbelanjaan penjualan dan pemasaran serta pengurangan kos kewangan berikutan pembayaran balik pinjaman.
“Hasil masa hadapan Kumpulan kekal tinggi pada RM3.6 bilion pada 31 Oktober 2022, sekali gus memberikan keterlihatan pendapatan yang jelas pada masa hadapan,” ujarnya.
Tambahnya, berikutan perkembangan terbabit, Lembaga Pengarah telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham pada suku keempat 2022. – UTUSAN










