PETALING JAYA: Eco World International Berhad (EcoWorld International) mencatatkan jualan sebanyak RM2.158 bilion pada tahun kewangan 2022 berakhir 31 Oktober 2022, 57 peratus lebih tinggi daripada jualan yang direkodkan pada 2021.
Pemaju hartanah itu dalam kenyataannya berkata, rekod jualan tersebut juga lapan peratus lebih tinggi daripada sasaran yang ditetapkan iaitu RM2 bilion untuk tahun kewangan berkenaan.
Katanya, Embassy Gardens dan London City Island adalah penyumbang terbesar kepada jualan dengan masing-masing memperoleh jualan sebanyak RM749 juta dan RM328 juta.
“Jualan lebih tinggi yang dicapai pada tahun kewangan 2022 juga membolehkan kumpulan meraih tunai bersih positif lebih awal daripada dijangkakan dengan baki tunai telah melebihi jumlah pinjaman pada 31 Oktober 2022.
“Setakat 31 Oktober 2022, Kumpulan mempunyai tunai bersih sebanyak RM655.3 juta manakala jumlah pinjaman pada RM482.8 juta dan menjadikan tunai bersihnya pada RM172.5 juta,” katanya dalam kenyataan di sini.
EcoWorld International berkata, Nota Jangka Sederhana (MTN) mewakili sebahagian besar jumlah pinjamannya dan setakat 31 Oktober 2022, kumpulan memperuntukkan dana yang mencukupi untuk menyelesaikan sepenuhnya MTN apabila ia matang pada Mei 2023.
Jelasnya, Lembaga Pengarah telah menetapkan sasaran jualan sebanyak RM1.4 bilion untuk tahun kewangan 2023 yang mana tidak termasuk potensi sumbangan daripada pelancaran baharu.
“Dengan hartanah sudah siap membentuk sebahagian besar daripada sasaran jualan, kumpulan menjangka untuk menjana tunai lebih daripada RM1 bilion daripada penjualan stok hartanah ini.
“Selepas mengetepikan peruntukan dana untuk keperluan modal kerja sedia ada EcoWorld London dan syarikat, EcoWorld International menyasarkan mempunyai lebihan tunai kira-kira RM900 juta,” ujarnya.
Sementara itu, syarikat merekodkan kerugian bersih RM94.64 juta pada suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Oktober 2022 berbanding kerugian bersih RM55.52 juta pada suku sama setahun lalu.
Bagi keseluruhan tahun kewangan pula, kumpulan mencatatkan kerugian bersih RM233.26 juta berbanding untung bersih RM15.88 juta pada tahun sebelumnya. – UTUSAN










