UOB selesai ambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup

UOB selesai ambil alih perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia, Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UOB mengumumkan telah menyelesaikan pengambilalihan perniagaan per­bankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand.

Menurut UOB, pengambilali­han perniagaan perbankan peng­­guna Citigroup di Indonesia dan Vietnam pula dijangka selesai pada 2023.

Jelasnya, perniagaan pengguna terdiri daripada portfolio pinjaman tidak bercagar dan bercagar, pengurusan kekayaan dan perniagaan deposit runcit Citigroup.

“Pengambilalihan ini sebahagian daripada strategi UOB untuk meningkatkan perniagaan runcit di ASEAN melangkaui pasaran asalnya di Singapura. Apabila selesai, pengambilalihan ini dijangka akan menggandakan asas pelanggan runcit sedia ada UOB di empat pasaran tersebut kepada 5.3 juta pelanggan selain menambahkan 5,000 kakitangan kepada tenaga kerja,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas perkembangan itu, Timbalan Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UOB, Wee Ee Cheong berkata, penyelesaian pengambilalihan perniagaan perbankan pengguna Citigroup di Malaysia dan Thailand merupakan peristiwa penting dalam usaha UOB untuk terus melabur dalam francais serantaunya.

Kata beliau, pengambilalihan itu memberikan skala yang lebih besar dan sejajar dengan hasrat UOB untuk menjadi bank pilihan para pengguna dan peniaga di ASEAN.

“Kami amat mengalu-alukan rakan sekerja dan pelanggan baharu kepada keluarga UOB. Dengan penambahan bakat Citigroup kepada pasukan sedia ada kami yang mantap di kedua-dua pasaran, kami mempunyai keupayaan dan kemampuan untuk mempercepatkan rancangan pertumbuhan serantau.

“Kami komited memastikan pelanggan Citigroup mengalami peralihan yang lancar. Titik sentuh (touchpoint) dan rangkaian rakan kongsi kami yang diperluaskan juga membolehkan pe­nyediaan rangkaian produk, perkhid­matan dan manfaat yang lebih luas kepada asas pelanggan yang diperbesarkan,” katanya.

UOB katanya, akan terus memberi tumpuan untuk memastikan peralihan perniagaan Citigroup berjalan lancar di kese­mua empat pasaran, de­ngan matlamat mencapai integrasi sistem sepenuhnya dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang.

Sementara itu, CEO UOB Malaysia, Ng Wei Wei berkata, pengambilalihan akan mengukuhkan kedudukan UOB Malaysia dengan portfolio, titik sentuh dan ekosistem rakan kongsi yang diperbesarkan.

Beliau berkata, perniagaan perbankan pengguna Citigroup sesuai dengan strategi perniagaan UOB yang lebih luas dan menekankan komitmen jangka panjang syarikat kepada Malaysia.

“Pelanggan perbankan pengguna Citigroup Malaysia boleh menjangkakan bahawa tidak akan ada apa-apa perubahan pada produk, perkhidmatan dan manfaat mereka, dan mereka boleh mengharapkan rangkaian penyelesaian dan tawaran yang lebih luas apabila kami memanfaatkan sinergi daripada gabungan kepakaran dan rangkaian rakan kongsi pengambilalihan ini,” katanya.

Dalam satu kenyataan berasingan, Citigroup berkata, urus niaga itu dijangka menghasilkan manfaat modal kawal selia kira-kira AS$1 bilion (RM4.73 bilion) untuk Kumpulan perbankan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×