Untung PDB melonjak lebih 100%

Untung PDB melonjak lebih 100%

PETRONAS Dagangan bersedia meneroka aliran pendapatan baharu dalam segmen kenderaan elektrik dengan pemasangan lebih banyak pengecas kenderaan itu di stesen minyak miliknya. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Dagangan Berhad (PDB) meneruskan prestasi kewangan yang kukuh apabila keuntungan sebelum cukainya meningkat lebih 100 peratus kepada RM399.1 juta bagi suku berakhir 30 September 2022 berbanding suku sama tahun lalu.

Hasil bagi suku tersebut juga meningkat sebanyak 93 peratus kepada RM10.1 bilion berbanding tempoh sama sebelumnya dan sebanyak 75 peratus kepada RM27.3 bilion untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2022, disumbangkan oleh volum jualan dan purata harga jualan lebih tinggi.

Pemulihan teguh PDB adalah seiring dengan lonjakan aktiviti ekonomi berikutan peralihan berterusan Malaysia ke fasa endemik Covid-19 selain pembukaan semula lebih banyak sektor ekonomi dan sosial.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PDB, Azrul Osman Rani berkata, prestasi yang lebih kukuh merentas semua segmen perniagaan adalah seiring dengan persekitaran ekonomi yang bertambah baik selepas pandemik.

“Kami akan terus mengukuhkan perniagaan teras kami, seiring dengan pemulihan ekonomi negara sambil kekal berhati-hati terhadap halangan luar dan ketidaktentuan global, termasuk risiko kemelesetan global pada masa hadapan.

“Melangkah ke hadapan, kami akan menggandakan usaha untuk mengembangkan aliran pendapatan kami daripada segmen produk bukan bahan api sambil terus membentuk laluan kemampanan.

“Ini adalah sebahagian daripada aspirasi untuk membuktikan perniagaan kami pada masa hadapan dan memberikan nilai yang lebih baik kepada para pemegang saham kami,” katanya dalam kenyataan.

Segmen komersial PDB menyaksikan pertumbuhan keuntungan kasar yang lebih kukuh pada suku tersebut berikutan peningkatan jumlah jualan, didorong oleh lonjakan dalam perjalanan antarabangsa dan pertumbuhan dalam industri perkhidmatan, apabila sektor pelancongan terus mendapat momentum.

Sementara itu, kedua-dua segmen runcit dan kemudahan juga mencatatkan keuntungan kasar yang lebih tinggi disumbangkan oleh pelonggaran sekatan Covid-19 semasa fasa endemik, berbanding semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan pada suku sama tahun lalu.

PDB juga melancarkan usaha niaga baharunya, Café Mesra pada Julai 2022 untuk melengkapkan lagi gaya hidup pelanggannya yang pelbagai.

Café Mesra adalah bukti komitmen berterusan PDB dalam meningkatkan pengalaman pelanggan dan akan mempercepatkan lagi usaha progresif syarikat dalam mempelbagaikan portfolio bukan bahan api.

PDB juga meningkatkan penyelesaian dan tawaran digital e-dagangnya untuk meningkatkan lagi pengalaman runcit pelanggan dari hujung ke hujung untuk menjadikan kehidupan seharian mereka lebih mudah dan lebih baik.

PDB terus membentuk laluan kemampanannya dan mengembangkan penawarannya secara strategik dalam penyelesaian tenaga yang lebih bersih untuk menyokong aspirasi pelepasan karbon sifar bersih Petronas.

Setakat ini, sebanyak tujuh pengecas kenderaan elektrik (EV) arus terus dan panel solar telah dipasang di lapan stesen Petronas pada suku ketiga 2022 dan bersedia untuk meneroka aliran pendapatan baharu dalam segmen mobiliti elektrik.

PDB mengisytiharkan dividen interim sebanyak 20 sen sesaham biasa bagi suku berakhir 30 September 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN