TEHERAN: Iran akan menjual kapal komersial yang dikaitkan dengan Amerika Syarikat (AS) serta Israel yang dirampas ketika konflik di Selat Hormuz dan Teluk, dengan hasil jualan disalurkan kepada individu serta keluarga yang terjejas akibat perang.
Ketua Pusat Peguam Badan Kehakiman, Hassan Abdollianpour, berkata sejumlah kapal milik AS dan Israel dirampas di Selat Hormuz dan Teluk berdasarkan keputusan mahkamah.
Menurut laporan Agensi Berita Mizan, beliau berkata hasil jualan kapal berkenaan akan digunakan untuk membantu individu dan keluarga yang terjejas akibat konflik terbabit.
“Hasil jualan kapal-kapal ini akan digunakan untuk membantu individu dan keluarga yang terjejas akibat perang baru-baru ini,” katanya.
Abdollianpour berkata, pakar juga sudah mula menilai kerosakan yang disebabkan serangan AS di wilayah Hormozgan di selatan Iran dan kawasan sekitarnya.
AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari lalu, yang menurut Teheran mengorbankan ribuan nyawa.
Iran kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan peluru berpandu dan dron ke beberapa kawasan di rantau itu.
Konflik berkenaan turut menyebabkan Selat Hormuz ditutup, sekali gus menjejaskan laluan strategik bagi penghantaran bekalan tenaga.- AGENSI











