PETALING JAYA: Keuntungan bersih HSS Engineers Berhad (HEB) melonjak kepada RM5 juta daripada RM0.23 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2022 (3Q22), peningkatan lebih 2,000 peratus suku sama tahun sebelumnya.
Menurut perunding kejuruteraan dan pengurusan projek itu, lonjakan tersebut hasil sumbangan kukuh segmen perundingan pengurusan projek (PMC) untuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1, Transit Aliran Massa 3 (MRT3) dan projek lain.
Jelasnya, ia adalah hasil yang stabil sebanyak RM40.4 juta pada suku dilaporkan, berbanding RM42.9 juta pada suku sama sebelumnya.
Katanya, Kumpulan merekodkan sumbangan sulung daripada kerja-kerja Transit Aliran Massa 3 (MRT3) sebagai PMC sejak Ogos 2022. Bersama-sama dengan kerja-kerja PMC untuk Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1A, pendapatan segmen itu meningkat 38.6 peratus kepada RM13.2 juta daripada RM9.5 juta setahun tahun lalu.
“Hasil daripada segmen Perkhidmatan Kejuruteraan berjumlah RM24.6 juta pada 3Q22 berbanding RM31.2 juta sebelumnya selaras dengan kemajuan projek.
“Bagi sembilan bulan berakhir 30 September 2022, keuntungan bersih Kumpulan meningkat lebih dua kali ganda kepada RM11.5 juta berbanding RM3.8 juta sebelum ini atas campuran produk yang menggalakkan, walaupun hasil merosot kepada RM114.7 juta daripada RM125.8 juta setahun lalu.
“Dengan projek-projek yang sedang berjalan, Kumpulan menjangkakan aliran menaik keuntungannya akan dikekalkan pada suku akan datang, dengan Tahun Kewangan 2022 (TK2022) berakhir pada nota yang stabil,” katanya dalam kenyataan.
Syarikat itu berkata, pada 30 September 2022, buku pesanan Kumpulan yang belum dibilkan berjumlah RM1.5 bilion, yang akan dibilkan dalam tempoh lapan tahun akan datang.
Jelasnya, buku pesanan itu termasuk projek yang dimenangi pada tahun ini, seperti PMC untuk MRT3, perkhidmatan perundingan untuk infrastruktur dan rangkaian 5G Malaysia oleh Digital Nasional Berhad (DNB), menaik taraf jambatan Sungai Marang di Marang, Terengganu dan pelantikan lanjutan untuk menaik taraf loji rawatan air oleh Kerajaan Negeri Kedah.
Mengulas pencapaian itu, Naib Pengerusi EKsekutif HEB, Tan Sri Ir. Kuna Sittampalam berkata, dengan buku pesanan yang kukuh dalam tangan, pihaknya sedang mengembangkan kumpulan jurutera secara agresif untuk memenuhi aktiviti yang lebih tinggi berikutan kemenangan baharu tunggal terbesar baru-baru ini, kontrak MRT3 bernilai RM997.9 juta, serta pelbagai projek tebatan banjir dan infrastruktur tempatan.
Kata beliau, syarikat optimis untuk mengekalkan aliran menaik yang ketara pada TK2022 sambil terus mengorak langkah penting dalam peranan PMC dan semakan rakan sebaya untuk MRT3, pakej kerja berkaitan air untuk Negeri Selangor, serta projek tebatan banjir kritikal misi merentas pelbagai negeri di Malaysia.
“Tambahan pula, setelah membuktikan kepakaran kejuruteraan kami di negara ini, Kumpulan sedang mengorak langkah besar dalam mengembangkan jejak antarabangsa kami untuk projek di seluruh ASEAN, India dan negara lain.
“Malah, pada tahun ini, kami telah berjaya menjalinkan kerjasama sebagai rakan kongsi pilihan dengan firma Jepun yang bereputasi untuk membantu mempercepatkan pelancaran projek yang dibiayai oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) di negara membangun,” katanya. – UTUSAN










