UEM Edgenta catat pendapatan dua angka pada 9BTK2022

UEM Edgenta catat pendapatan dua angka pada 9BTK2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: UEM Edgenta Berhad mencatat keuntungan bersih sebanyak RM24.6 juta pada sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 2022 (9BTK2022) dengan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion, peningkatan 13.7 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Kumpulan turut mencatatkan Keuntungan Sebelum Cukai (PBT) sebanyak RM55.3 juta pada 9B TK2022, 22.1 peratus lebih tinggi berbanding RM45.3 juta yang dicatatkan pada tempoh yang sama tahun sebelumnya.

Selepas mencatatkan prestasi kukuh pada separuh pertama TK2022, momentum pertumbuhan syarikat pada suku ketiga disederhanakan oleh peningkatan tekanan inflasi dan gangguan rantaian bekalan.

Menurut UEM Edgenta, pendapatan syarikat pada suku ketiga TK2022 berbanding suku sebelumnya meningkat sebanyak 3.0 peratus atau RM18.5 juta, kepada RM646.2 juta.

Manakala, keuntungan bersih menyusut sebanyak 59.3 peratus, daripada RM10.8 juta kepada RM4.4 juta, terutamanya disebabkan kerugian peruntukan nilai “one-off” pada inventori dan peningkatan kos dalam operasi perniagaan, katanya.

“Pertumbuhan pendapatan bagi tahun ke tahun didorong oleh hasil pendapatan tinggi yang dijana daripada Healthcare Support Services melalui usulan pengembangan penyelesaian penjagaan kesihatan bersepadu di Malaysia dan perluasan perkhidmatan kepada sektor hospitaliti dan semikonduktor di Singapura dan Taiwan.

“Pertumbuhan juga dilihat dalam perniagaan Infrastructure Solutions, disebabkan oleh peningkatan kerja-kerja penyelenggaraan berikutan pemansuhan perintah kawalan pergerakan oleh kerajaan dan peningkatan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama.

“Sehingga 30 September 2022, kunci kira-kira UEM Edgenta kekal kukuh dengan mengekalkan nisbah gearan rendah pada 0.3 kali,” katanya dalam kenyataan.

Buku pesanan syarikat pengurusan aset dan penyelesaian infrastruktur itu juga kekal kukuh pada RM10.1 bilion, tambah UEM Edgenta.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama TK2022, syarikat memperoleh kontrak baharu kira-kira RM972 juta, dengan 70 peratus daripadanya  adalah hasil daripada pasaran antarabangsa, selaras dengan strategi pengembangan antarabangsa Kumpulan.

Pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 dan pemulihan aktiviti ekonomi telah membuka jalan ke arah momentum pertumbuhan yang positif.

Walaubagaimanapun, halangan makroekonomi dan inflasi telah menyumbang kepada peningkatan kos merentasi semua sektor di seluruh dunia.

Berlatarbelakangkan situasi perniagaan yang mencabar, syarikat mengekalkan pelaksanaan langkah jangka pendek hingga sederhana bagi menghadapi pasaran yang tidak menentu di samping memastikan pengekalan kualiti penyampaian perkhidmatan.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif UEM Edgenta, Syahrunizam Samsudin berkata, Kumpulan komited untuk mengekalkan nilai mampan jangka panjang kepada pemegang berkepentingan syarikat serta mengambil langkah responsif dan proaktif untuk meningkatkan ketangkasan dan ketahanan operasi Kumpulan.

“Meskipun berhadapan dengan cabaran makroekonomi dan operasi, kami akan terus memperkukuh kesediaan kami melalui pengoptimuman kos struktur dan strategi kecekapan operasi bagi membina sebuah syarikat global yang berdaya teknologi berasaskan pengurusan kemudahan bersepadu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN