TNB, Felda berkolaborasi dalam teknologi hijau

TNB, Felda berkolaborasi dalam teknologi hijau

NASARUDDIN Mohd. Zaini (dua dari kiri), Amiruddin Abdul Satar (tiga dari kiri) dan Pengarah Urusan GSPARX Sdn. Bhd., Elmi Fairul Mashuri menunjukkan dokumen yang tandatangani.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, GSPARX Sdn. Bhd. (GSPARX) terus mendapat sokongan agensi-agensi kerajaan dalam menggiatkan peralihan tenaga.

Terbaharu, GSPARX berkola­borasi dengan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dalam teknologi hijau ke arah pengurangan jejak karbon melalui pemasangan sistem solar fotovoltaik atas bumbung di 14 premis Felda di Semenanjung Malaysia dengan kapasiti 1.6 MWp (Megawatt peak).

Melalui kerjasama itu, Felda akan mendapat penjimatan bil elektrik sebanyak RM10.74 juta sepanjang tempoh kontrak dan inisiatif peralihan tenaga tersebut mampu menguangkan 1,321 tan metrik karbon dioksida setahun.

Menurut Ketua Pegawai Retail TNB, Kamal Arifin A. Rahman, inisiatif teknologi hijau itu bakal mempertingkatkan impak pembangunan mesra alam dan ke­sejahteraan sejagat sejajar komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

“Perjanjian ini juga merangkumi solusi tenaga pintar lain seperti Tarik Elektik Hijau (GET) apabila kuota tersedia, seterus­nya aspek kecekapan tenaga dan sistem pemantauan tenaga (EMS) dalam mengurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam kenya­taan sempena majlis menandatangani Perjanjian Bekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) di Menara Felda, baru-baru ini.

Perjanjian itu ditandatangani Ketua Pegawai Pelanggan (Government & Large Business) Bahagian Retail TNB, Nasaruddin Mohd Zaini; Pengarah Urusan GSPARX Sdn.Bhd., Elmi Fairul Mashuri dan Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar.

Selain Kamal Arifin, majlis itu turut disaksikan oleh Timbalan Pengarah Besar Operasi Felda, Izham Mustaffa dan Ketua Pegawai Strategi & Teroka TNB, Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Menurut Kamal Arifin, pemasangan panel solar fotovoltaik itu merangkumi pelbagai bangunan termasuk Menara Felda, Institut Semarak Felda serta pejabat-pejabat wilayah di Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

“Kerja-kerja pemasangan dijadualkan siap pada Mei 2023 dan inisiatif beralih kepada sumber Tenaga Boleh Baharu (TBB) ini membolehkan Felda menikmati anggaran penjimatan bil elektrik sebanyak RM10.74 juta untuk tempoh 20 tahun perjanjian.

“Ia sejajar aspirasi nasional menuju negara neutral karbon menjelang 2050 apabila inisiatif tersebut mampu mengurangkan 1,321 tan metrik karbon dioksida setiap tahun bersamaan pemerangkapan gas rumah hijau oleh 24,232 pokok dalam tempoh 10 tahun,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN