PETALING JAYA: Grand Oils & Fats (Dongguan) Co. Ltd. GIHDG), yang berpengkalan di China telah dianugerahkan Piawaian Pensijilan Rantaian Bekalan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO SCCS), menjadikannya syarikat luar negara pertama diberi penghormatan tersebut.
GIHDG ialah syarikat pemprosesan minyak makan dan antara peneraju industri minyak dan lemak berasaskan tumbuhan di China.
Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, Institut Perkhidmatan Teknikal dan Penyelidikan Minyak Sawit Lembaga Minyak Sawit Malaysia telah memula dan memudahkan sesi libat urus dengan syarikat China tersebut pada Disember 2021.
“GIHDG telah disah dan dianugerahkan Sijil MSPO SCCS oleh Bureau Veritas Certification (M) Sdn. Bhd., badan pensijilan bertauliah di bawah Skim Pensijilan MSPO.
“GIHDG kini boleh membekalkan produk diperbuat daripada minyak sawit yang dihasilkan secara mampan dengan yakin dan lebih dipercayai kepada pelanggan dan pengguna akhir mereka di seluruh dunia,” katanya dalam kenyataan.
Menurut MPOB, Piawaian MSPO melengkapkan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) 2030 terutamanya mengenai penggunaan dan pengeluaran yang bertanggungjawab, pekerjaan yang baik dan pertumbuhan ekonomi, kehidupan di darat, kebuluran sifar dan perubahan iklim.
China, sejak dahulu lagi kerap memperoleh produk sawitnya dari Malaysia.
Ia dapat dilihat daripada statistik yang menunjukkan eksport produk sawit Malaysia ke China telah meningkat tiga kali ganda daripada 1.02 juta tan pada 2000 kepada 3.13 juta tan tahun lalu. – UTUSAN










