KUALA LUMPUR: Eco World Development Group Berhad (EcoWorld) menandatangani perjanjian dengan SKB Shutters Corporation Berhad (SKB Shutters) untuk pengambilalihan tanah seluas 3.9 hektar di Eco Business Park V (EBP V).
Melalui perjanjian tersebut SKB Shutters mengambil alih tanah perindustrian tersebut untuk membangunkan kilang pembuatan dengan cadangan pembelian sebanyak RM36 juta.
Pengarah Urusan SKB Shutters, Michelle Sin berkata, syarikat memilih untuk mengembangkan perniagaannya di EBP V kerana infrastruktur progresif dan portfolio pelanggan yang cemerlang.
“Kami berbangga meletakkan kilang pembuatan kami di kalangan organisasi yang berkaliber tinggi lain.
“Dengan kemudahan canggih, sambungan yang meluas ke pelabuhan perniagaan utama dan keselamatan yang unggul, kami yakin dengan kemungkinan tanpa had yang boleh ditawarkan oleh EBP V,” katanya dalam kenyataan.
EBP V merupakan taman perindustrian hijau terbesar bernilai RM2.85 bilion.
Tambahnya, dengan kilang baharu ini, SKB Shutters meneruskan rancangan untuk menggunakan rangkaian fabrikasi automatik sepenuhnya, pengoptimuman tenaga pintar dan pemantauan produktiviti dan proses serta pelancaran pengeluaran ‘Fail-Safe Flood Gate.
Jelasnya, SKB Shutters bertujuan untuk mewujudkan tempat kerja yang menarik dengan penekanan pada mereka bentuk dan mempromosikan modul yang menggalakkan produktiviti pekerja serta persekitaran kerja yang menggalakkan dan sihat.
Sementara itu, Timbalan Presiden dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Seri Sundarajoo Somu berkata, pihak pemaju berbesar hati mengalu-alukan SKB Shutters ke EBP V.
“Keputusan SKB Shutters menubuhkan perniagaan mereka di sini akan menyumbang kepada usaha kami menjadikan EBP V sebagai satu daripada taman perindustrian terbaik di negara ini dan menawarkan peluang pekerjaan berkualiti untuk rakyat Selangor,” ujarnya. – UTUSAN










