Sime Darby Property rekod jualan RM2.7 bilion 

Sime Darby Property rekod jualan RM2.7 bilion 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad telah melepasi sasaran jualan tahun kewangan 2022 berjumlah RM2.6 bilion dengan catatan rekod jualan sebanyak RM2.7 bilion pada sembilan bulan berakhir 30 September 2022, menandakan peningkatan jualan sebanyak 43 peratus tahun-ke-tahun berbanding RM1.9 bilion yang dicapai dalam tempoh sama tahun lalu.

Syarikat telah mencatatkan pendapatan dan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM1.8 bilion dan RM323.1 juta, menunjukkan peningkatan sebanyak 21 dan 90 peratus tahun ke tahun manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) juga melonjak melebihi 100 peratus kepada RM212.7 juta.

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, kemampuan syarikat untuk mengekalkan momentum penjualan yang tinggi sejak awal tahun sehingga suku ketiga 2022 menyarankan potensi pencapaian pendapatannya menuju penghujung tahun kewangan.

“Meskipun menghadapi pelbagai cabaran dan rintangan di pasaran, syarikat berjaya menjana prestasi yang amat memberangsangkan setakat ini. Pelancaran produk-produk kediaman kami menerima sambutan yang tinggi termasuk ‘Serenia Anira 3’ di  Bandar Serenia yang mencapai kadar pembelian sebanyak 80 peratus.

“Kilang-kilang berkembar dan kilang-kilang sesebuah kami di Elmina Business Park juga mencatat kadar pembelian sebanyak 100 peratus, menunjukkan keupayaan syarikat untuk memenuhi kepentingan perniagaan pelbagai skala dengan segala kemudahan merangkumi kilang-kilang siap dibina serta produk-produk perindustrian terbina-untuk-disewa yang boleh disesuaikan mengikut keperluan perniagaan masing-masing,” katanya.

Sepanjang sembilan bulan pertama 2022, Sime Darby Property telah melancarkan produk-produk dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.1 bilion merangkumi produk-produk perumahan dan perindustrian dengan kadar 44 dan 55 peratus daripada jumlah GDV yang dilancarkan serta kadar pembelian purata sebanyak 90 peratus.

Tempahan semasa Sime Darby Property setakat 6 November 2022 bernilai sebanyak RM2.1 bilion manakala jumlah baki stok siap dibina syarikat juga menurun ke tahap rendah yang baharu kepada RM273.4 juta setakat 30 September 2022.

Jualan belum dibil syarikat juga meningkat sebanyak 5.4 peratus suku ke suku kepada RM3.5 bilion setakat 30 September 2022, menandakan peningkatan sebanyak 70 peratus tahun ke tahun dalam tempoh sama tahun lepas.

Sime Darby Property menjangkakan lebih banyak pelancaran produk-produk perumahan dan perindustrian pada suku keempat 2022, susulan pelancaran produk-produk kediaman bertingkat tinggi di Putra Heights, Selangor dan Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Berlandaskan pengaktifan bank tanah dan pelancaran produk-produk baharu, syarikat kekal utuh dengan nilai tunai sebanyak RM876.2 juta serta nisbah hutang bersih pada kadar 28.2 peratus setakat 30 September 2022.

Berikutan projek transformasi selama lapan tahun, Battersea Power Station kini sudah dibuka kepada orang ramai dengan kadar penghunian sebanyak 90 peratus untuk ruang komersial dan telah menyambut lebih 250,000 pengunjung sepanjang pembukaan pada Oktober.

Azmir berkata, prestasi kewangan dan operasi Sime Darby Property kekal utuh walaupun syarikat berdepan dengan pasaran yang mencabar serta ketidakpastian ekonomi.

“Pencapaian kami membuktikan syarikat berada di landasan yang tepat dengan strategi-strategi, pembangunan produk- produk serta tawaran-tawaran yang memberangsangkan.

“Syarikat akan sentiasa memastikan pendekatan berdisiplin untuk menyempurnakan tahun kewangan ini dengan pulangan yang lumayan bagi pihak berkepentingan kami,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN