Sekolah Perniagaan Malaysia pertama terima Akreditasi EQUIS

Sekolah Perniagaan Malaysia pertama terima Akreditasi EQUIS

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menerima Akreditasi EFMD Quality Improvement System (EQUIS) bagi tempoh tiga tahun daripada European Foundation for Management Development (EFMD).

Naib Canselor UPM, Prof. Datuk Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata, pengiktirafan itu bukti komitmen SPE UPM terhadap kecemerlangan pendidikan kepada pelajarnya dan menekankan kualiti program, staf dan penyelidikan.

Kata beliau, Akreditasi EQUIS membawa nilai tambah yang berharga kepada akreditasi AACSB sedia ada.

“Ia mengukuhkan kedudukan SPE UPM sebagai institusi pendidikan perniagaan terkemuka di Malaysia dan di peringkat global,” katanya dalam kenyataan.

Tambah beliau, pencapaian itu juga sejajar dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025 Matlamat 1 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang dan selaras dengan visi UPM untuk menjadi universiti bereputasi antarabangsa.

Sementara itu, Dekan SPE, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin berkata, Akreditasi EQUIS merupakan pencapaian penting dalam perjalanan SPE UPM untuk menjadi sekolah perniagaan terkemuka di Asia.

“Kami amat berbangga menjadi sekolah perniagaan tempatan yang pertama di Malaysia yang telah mendapat pengiktirafan berprestij ini.

“Pencapaian ini pastinya akan membuka peluang kepada SPE UPM untuk meningkatkan kerjasama dengan industri, komuniti dan sekolah perniagaan terkemuka lain di seluruh dunia,” katanya.

Akreditasi itu merupakan pencapaian yang membanggakan bagi UPM, menjadikannya universiti Malaysia pertama mendapat pengiktirafan antarabangsa itu.

Pada masa ini, terdapat 209 sekolah yang diiktiraf EQUIS di seluruh dunia. Dengan anggaran 16,000 sekolah perniagaan di seluruh dunia, SPE UPM kini menyertai 2 peratus kumpulan elit sekolah perniagaan yang diiktiraf EQUIS.

EQUIS merupakan sistem penilaian kualiti antarabangsa, penambahbaikan, dan akreditasi untuk institusi pendidikan tinggi dalam pentadbiran pengurusan dan perniagaan.

Bagi mencapai akreditasi ini, SPE, UPM telah menjalani proses penilaian yang ketat termasuk laporan penilaian kendiri yang mendalam, diikuti dengan lawatan secara dalam talian daripada pasukan penilai yang terdiri daripada pakar-pakar antarabangsa. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×