PETALING JAYA: Sime Darby Oils (SDO), syarikat hiliran Sime Darby Plantation Berhad (SDP) melabur lebih AS$150 juta (RM711 juta) untuk membangunakan loji penapisan minyak dan lemak khusus baharu di Zon Ekonomi Sei Mangkei, Simalungun, Sumatera Utara, Indonesia.
Menurut kenyataanya, loji penapisan yang akan dibina di atas tapak seluas 16 hektar dengan kapasiti pengeluaran tahunan lebih daripada 450,000 tan metrik produk berasaskan sawit dan laurik itu dijangka memulakan pengeluaran pada 2024.
Pada kapasiti penuh, operasi logi penapisan itu akan mewujudkan lebih daripada 200 pekerjaan di dalam negara dan kesan limpahan positif yang lain.
Pengarah Urusan SDO, Mohd Haris Mohd Arshad berkata, pelaburan terbaharu tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang SDO kepada Indonesia dan dalam menyumbang kepada pembangunan wilayah Sumatera Utara.
“Loji penapisan Sei Mangkei adalah pelaburan terbesar SDO di Indonesia setakat ini dan akan menjadi pelaburan penapisan kedua kami di negara ini selepas loji penapisan Pulau Laut kami di Kalimantan.
“Ia akan menggunakan teknologi bertaraf dunia untuk menghasilkan minyak dan lemak khusus kami serta lebih banyak produk nilai tambah untuk pasaran eksport,” katanya.
Mohd Haris berkata, loji tersebut yang merupakan fasiliti pertama SDO di wilayah Sumatera, dijangka memanfaatkan pengeluaran minyak sawit mentah sedia ada di rantau ini melalui Minamas Plantation, anak syarikat SDP di Indonesia.
“Dengan kerumitan pengeluaran minyak khusus kami, ditambah dengan automasi dan pendigitalan yang dipasang dalam penapisan, kami membuka pintu kami kepada tenaga kerja mahir muda dan akan datang Indonesia.
“Ini termasuklah jurutera, juruteknik, perancang logistik, eksekutif kewangan dan pekerja bernilai tambah tinggi yang lain, khususnya di wilayah Sumatera Utara.
“Loji penapisan Sei Mangkei juga akan menawarkan peluang untuk perniagaan sedia ada dan baharu di rantau ini dan kami berharap menjadi pemangkin dalam memacu pertumbuhan ekonomi tempatan dan mampan,” tambahnya.
Kilang penapisan terbahari tersebut adalah aset hiliran keempat SDO di Indonesia.
Selain loji penapisan utamanya di Pulau Laut yang mula beroperasi pada 2014, syarikat itu juga mengendalikan dua Loji Penghancur Inti di Rantau, Kalimantan Selatan dan di Pemantang, Kalimantan Tengah. – UTUSAN










