PETALING JAYA: Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) kesal dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus semalam, kenaikan kali keempat untuk tahun ini.
Pengerusi Samenta Pusat, Datuk William Ng berkata, ini berikutan keadaan ekonomi masih kurang menentu dan boleh memberi kesan negatif kepada pertumbuhan ekonomi khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Beliau berharap, kerajaan melalui Bank Negara Malaysia (BNM) dapat membendung inflasi yang dihadapi negara melalui cara lain termasuk menstabilkan politik dan ekonomi serta membuka ruang kepada lebih saingan di dalam negeri.
“Selain itu, kerajaan juga boleh merasionalisasikan subsidi dan ‘wang ehsan’, mengehadkan monopoli dalam kalangan syarikat milik kerajaan (GLC) dan menyusun semula undang-undang buruh untuk membenarkan gaji dibayar mengikut produktivi.
“Walaupun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pulih kepada 3.1 peratus tahun lalu dan dijangka berkembang lebih dari lima peratus tahun ini, angka ini tidak mencerminkan keadaan di lapangan.
“PMKS secara keseluruhannya pulih sebanyak satu peratus tahun lepas, berbanding 4.4 peratus di antara syarikat yang lebih besar termasuk GLC,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Sementara itu, beliau berkata, pemulihan dalam kalangan PMKS lebih mencabar berbanding ekonomi negara keseluruhan.
“Kami tidak pasti sama ada Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM ada mengambil kira perbezaan ini dan membuat tinjauan di peringkat akar umbi akan kesan kenaikan OPR terhadap PKS.
“Turut membimbangkan adalah keengganan ramai PMKS untuk menambah baik dan menaik-tarafkan operasi mereka kerana ketidakstabilan politik dalam negara dan ekonomi global.
“Ini merunsingkan kerana kita di titik infleksi yang mana pelaburan untuk menambah baik operasi penting untuk kita beralih ke ekonomi digital dan pematuhan piawaian Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG). Kenaikan kadar OPR tidak membantu dalam hal ini,” jelasnya.
Semalam, MPC BNM membuat keputusan untuk menaikkan OPR sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, iaitu kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini. – UTUSAN










