KUALA LUMPUR: Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) bekerjasama dengan UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) mengeluarkan koleksi setem khas Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) pertama Malaysia.
Setem bertemakan ‘Kitar Semula – Ekonomi Kitaran’ tersebut dikeluarkan bagi menggariskan peranan penting kitar semula bagi mencapai ekonomi kitaran.
Pengarah Eksekutif UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei, Faroze Nadar berkata, kitar semula memainkan peranan penting dalam membantu negara mencapai ekonomi kitaran, yang secara langsung dan tidak langsung menyumbang kepada SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam merealisasikan Agenda 2030.
“Selaras dengan Agenda 2030, ia bertujuan menangani lima dimensi kritikal yang digelar 5P iaitu Manusia (People), Kemakmuran (Prosperity), Planet (Planet), Perkongsian (Partnership) dan Keamanan (Peace).
“Walaupun kitar semula terdiri daripada elemen ke-12 Matlamat Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab tetapi ia mempunyai kesan ke atas hampir kesemua 17 elemen Matlamat Pembangunan Mampan,” katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia Berhad, Charles Brewer berkata, kerjasama tersebut sejajar dengan hasrat mereka untuk memberi inspirasi daripada tindakan yang bermakna dan menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai usaha kitar semula.
“Pos Malaysia sebagai sebuah organisasi yang telah membina kepercayaan selama lebih 200 tahun, menghubungkan kehidupan dan perniagaan untuk masa hadapan yang lebih cemerlang.
“Adalah penting bagi kami untuk terus memperbaharui pengawasan kami dengan memperjuangkan kemampanan bagi 200 tahun lagi,” ujarnya.
Setem khas itu diperakui oleh Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri, sebuah agensi kerajaan Malaysia yang memperjuangkan SDG PBB Pertubuhan dan mengambil peranan pengawasan dalam peralihan Malaysia ke arah masa depan rendah karbon.
Setem tersebut boleh didapati di pejabat pos terpilih Pos Malaysia dan Biro Filateli mulai 2 November dengan set koleksi folder dijual pada harga RM38.
Secara individu, setem dan sampul hari pertama masing-masing akan dijual pada harga RM1.50 dan RM0.50 setiap satu.
Koleksi setem bertumpukan kepada konsep kitar semula, yang merupakan peranan utama dalam menghapuskan sisa daripada kitaran hayat produk. – UTUSAN










