OPR kini 2.75 peratus, kenaikan keempat berturut-turut

OPR kini 2.75 peratus, kenaikan keempat berturut-turut

OPR kekal tiga peratus setakat tahun ini. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) sekali lagi membuat keputusan menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus pada mesyuarat kali terakhirnya tahun ini.

Ia adalah kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini bermula Mei, Julai dan September lalu, dengan masing-masing menyaksikan peningkatkan sebanyak 25 mata asas berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.

Kenaikan kali keempat berturut-turut itu juga adalah pertama kali sejak penanda aras kadar faedah pinjaman tempatan itu diperkenalkan pada 2004.

Berikutan kenaikan terbaharu itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.

BNM berkata, keputusan itu membolehkan ekonomi negara terus berkembang dan dalam masa sama memastikan inflasi terus terkawal.

Jelasnya, penunjuk terkini ekonomi Malaysia menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi terus bertambah kukuh pada suku ketiga 2022, didorong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang teguh.

“Pada masa hadapan, permintaan dalam negeri akan terus menjadi pendorong utama pertumbuhan meskipun persekitaran global mencabar. Perbelanjaan isi rumah akan terus disokong oleh keadaan pasaran pekerja dan prospek pendapatan yang bertambah baik.

“Namun, permintaan luaran dijangka sederhana berikutan pertumbuhan global yang semakin perlahan. Meskipun terdapat episod volatiliti yang ketara dalam pasaran kewangan global dan pertukaran asing, perkembangan ini dijangka tidak akan menjejaskan pertumbuhan Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

Bank pusat itu menjelaskan, keadaan mudah tunai domestik terus mencukupi dengan pasaran kewangan dan pasaran pertukaran asing terus berfungsi dengan teratur.

“Institusi kewangan juga terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh. Hal ini akan memastikan pengantaraan kewangan terus menyokong ekonomi.

“Bagaimanapun, risiko pertumbuhan ekonomi dalam negeri menjadi perlahan terus berpunca daripada pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan.

“Selain itu, kesan turut dirasai kerana aktiviti penghindaran risiko yang lebih tinggi dalam pasaran kewangan global berikutan dasar monetari yang lebih ketat secara agresif di ekonomi utama, konflik geopolitik yang semakin meruncing dan gangguan rantaian bekalan yang semakin teruk,” ujarnya.

BNM turut memaklumkan, selaras dengan penilaian sebelum ini, inflasi keseluruhan mungkin berada pada tahap tertinggi pada suku ketiga 2022 dan dijangka menjadi sederhana, meskipun kekal pada tahap tinggi.

Katanya, inflasi asas, seperti yang diukur oleh inflasi teras, diunjurkan untuk berpurata lebih hampir kepada tahap tinggi dalam julat unjuran 2.0 hingga 3.0 peratus tahun ini setelah berpurata 2.7 peratus sejak awal tahun berikutan wujudnya tekanan didorong permintaan dalam keadaan kos yang tinggi.

“Menjelang 2023, inflasi keseluruhan dan inflasi teras dijangka kekal tinggi berikutan tekanan permintaan dan kos, serta apa-apa perubahan pada langkah-langkah dasar dalam negeri.

“Kesan tekanan inflasi menjadi lebih tinggi juga sebahagiannya akan terus dibendung oleh kawalan harga yang sedia ada, subsidi dan lebihan kapasiti yang masih wujud dalam ekonomi,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN