OPR dijangka naik lagi 25 mata asas

OPR dijangka naik lagi 25 mata asas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Berikutan kea­daan ekonomi semasa yang s­emakin pulih, penganalisis eko­nomi menjangkakan Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) bakal mengumumkan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) buat kali keempat, esok.

Kenaikan dijangka sebanyak 25 mata asas itu akan menjadikan OPR terkini kepada 2.75 peratus.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, kenaikan tersebut bagi merapatkan jurang sekiranya Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) menaikkan lagi OPR sebanyak 75 mata asas dalam masa terdekat ini.

“Ia berdasarkan prestasi bursa global dari AS, United Kingdom (UK), Kesatuan Eropah (EU) serta pasaran saham negara-negara maju lain yang turut merosot kebelakangan ini kera­na pengurus dana mengunjurkan pihak Fed AS pasti akan menaikkan kadar faedahnya dan bakal diikuti oleh negara-negara maju yang lain.

“Kenaikan OPR ini dijangkakan berterusan berdasarkan pemerhatian pihak kerajaan bahawa ekonomi negara sudah pulih dan perlu dinaikkan kembali sedikit demi sedikit hinggalah mencapai tahap 3.0 peratus iaitu kadar OPR pada 2019,” katanya kepada Utusan Malaysia, semalam.

Menurut beliau, daripada kenaikan tersebut, bank-bank di Malaysia akan terus menikmati margin keuntungan seterusnya mencatatkan keuntungan yang memuaskan bagi tahun kewa­ngan 2022.

Selain itu katanya, pasaran wang akan terus mencatatkan jumlah transaksi yang baik dan terus menarik ramai pengurus dana tempatan mahupun dari luar negara.

“Kadar pinjaman juga akan meningkat menyebabkan ba­nyak perniagaan dan orang ramai tidak berhasrat membuat pinjaman baharu. Namun, ini membantu bank untuk terus mengenal pasti akaun-akaun yang tidak mampu bayar (NPL), kerana peminjam akan menghadapi masalah sekiranya pendapatan mereka terjejas.

“Dengan kadar simpanan yang tinggi, orang ramai dan perniagaan akan lebih tertarik untuk menyimpan di bank dan mengurangkan perbelanjaan mereka, apa lagi kadar inflasi yang tinggi turut memberi kesan kepada harga barang keperluan.

“Dalam situasi ini, sekadar berbelanja untuk keperluan sahaja adalah langkah terbaik untuk rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Daaniyall Abd. Rahman berkata, melihat kepada situasi kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku kedua yang memberangsangkan, kadar inflasi pada September 2022 juga telah menunjukkan trend yang semakin baik.

“Justeru, peningkatan OPR kali ini dijangka lebih berperanan sebagai alat penstabil yang boleh terus melancarkan proses pemulihan ekonomi secara keseluruhannya.

“Bagi rakyat pula, kesan OPR yang dinaikkan telah dirasai dengan kadar inflasi yang lebih terkawal di samping usaha kerajaan menambah subsidi melalui intervensi fiskal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN