MIDF Research kekal unjuran pertumbuhan pinjaman 5.8 peratus 

MIDF Research kekal unjuran pertumbuhan pinjaman 5.8 peratus 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: MIDF Research mengekalkan unjuran pertumbuhan pinjaman pada tahun ini pada 5.8 peratus walaupun segmen tersebut tumbuh dengan kukuh pada 6.4 peratus tahun ke tahun pada September.

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan pinjaman berkemungkinan memuncak pada 6.8 peratus dari tahun ke tahun pada Oktober.

Katanya, pertumbuhan pinjaman akan terus berkurangan dalam enam bulan pertama 2023 berikutan kehadiran kecairan yang tidak begitu murah.

“Pinjaman runcit kekal kukuh pada September dengan peningkatan sebanyak 7.5 peratus tahun ke tahun, prestasi terbaik sejak pandemik bermula. Ini bersamaan dengan peningkatan 0.7 peratus dari bulan ke bulan dan 6.5 peratus secara tahunan.

“Sewa beli dan gadai janji kediaman terus menjadi pemacu utama, walaupun pinjaman tidak bercagar mencatatkan peningkatan cemerlang 4.8 peratus dari bulan ke bulan.Pinjaman kad kredit pula meliputi 1.9 peratus, meningkat 15.5 peratus tahun ke tahun.

“Jumlah pembelian di Malaysia oleh pemegang kad tempatan merosot sedikit daripada kemuncak pada Ogos, manakala pembelian oleh pemegang kad asing adalah mendatar pada tahap sebelum pandemik,” katanya di sini hari ini.

Firma penyelidikan itu memberitahu, pinjaman perniagaan merosot dengan hanya tumbuh sebanyak 5.3 peratus dari tahun ke tahun berbanding 6.1 peratus pada Ogos 2022.

Katanya, modal kerja kekal tidak berubah pada bulan ke bulan, walaupun gadai janji bukan kediaman, pembinaan dan pinjaman sekuriti menyaksikan pertumbuhan yang baik.

“Walaupun melaporkan angka yang kukuh, permohonan sistem pinjaman menguncup sebanyak 7 peratus dari bulan ke bulan. Penyumbang teras kepada penurunan mendadak adalah penguncupan dalam pinjaman sewa beli, gadai janji kediaman,” ujarnya.

Tambah nota itu lagi, pihaknya kekal positif terhadap kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Kami kekal positif, walaupun sektor ini mesti berdepan dengan persaingan deposit yang semakin meningkat, normalisasi OPEX dan potensi peruntukan akibat kemelesetan ekonomi dan kejutan kualiti aset pada tahun depan.

“Ini kerana, kenaikan OPR akan menyumbang kepada Pendapatan Faedah Bersih (NII), prospek pendapatan yuran yang lebih baik dan hasil dan penilaian dividen yang menarik,” ujarnya.

Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini membuat keputusan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus, iaitu kenaikan kali keempat berturut-turut tahun ini.

Berikutan kenaikan terbaharu itu, kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 3.00 peratus dan 2.50 peratus.  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN