Konkrit naik RM30 setiap meter padu

Konkrit naik RM30 setiap meter padu

KENAIKAN harga konkrit dibimbangi mendorong kenaikan harga bahan binaan lain, sekali gus menjejaskan golongan kontraktor. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Harga konkrit dinaikkan lagi sebanyak RM30 bagi setiap meter padu bermula 1 November lalu setelah kontraktor menerima notis mengenai kenaikan tersebut pada minggu lalu.

Dalam notis bertarikh 27 Oktober 2022 yang dikongsikan oleh kontraktor, CI Readymix Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh YTL Cement Bhd. menyatakan harga konkrit dinaiki sebanyak RM30 bagi setiap meter padu disebabkan oleh kenaikan harga bahan mentah.

Menurut persatuan kontraktor, kenaikan tersebut akan melibatkan semua gred konkrit yang merupakan campuran simen dan batu pasir yang pasti meningkatkan kos pembinaan mereka.

Perkara tersebut telah menimbulkan kegusaran dalam kalangan kontraktor kerana kenaikan tersebut akan mendorong kepada peningkatan harga bahan-bahan pembinaan lain, seterusnya meningkatkan kos.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Seri Mohamed Fadzill Hassan berkata, kenaikan tersebut melibatkan semua gred konkrit dan tindakan itu pasti menjejaskan kontraktor kerana perlu menanggung kos yang lebih tinggi.

Katanya, kenaikan harga sewenang-wenangnya tidak sepatutnya berlaku kerana simen yang digunakan dalam campuran konkrit termasuk dalam barangan kawalan kerajaan.

“Ini bukan kali pertama harga dinaikan tetapi sudah beberapa kali. Simen adalah barangan kawalan kerajaan. Jadi, adakah mereka sudah mendapatkan kelulusan kerajaan untuk naikkan harga in?

“Saya berharap kerajaan dapat mengambil maklum perkara ini dan mengambil tindakan segera. Kenaikan harga bahan pembinaan seperti ini akan memberi kesan kepada kenaikan harga barang pembinaan lain juga dan mungkin mendorong kepada kenaikan harga rumah,” katanya.

Tambah beliau, tiada masalah kekurangan bekalan simen dalam pasaran ketika ini yang boleh menjadi penyebab kepada kenaikan tersebut.

Sementara itu, Presiden Persa­tuan Kontraktor Bumiputera Malaysia, Datuk Azman Yusoff berkata, kenaikan konkrit tersebut adalah kali ketiga dalam tempoh 12 bulan.

Menurutnya, kenaikan pertama pada November 2021 melibatkan peningkatan sebanyak RM15 bagi setiap meter padu dan kedua pada Mac iaitu antara RM16 hingga RM20 bagi setiap meter padu walaupun pada awalnya kedua-dua kenaikan tersebut dinyatakan sebanyak RM40.

“Kenaikan harga oleh kilang pasti membebankan kepada kontraktor yang menjalankan kerja-kerja pembinaan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN