KLIA, LGK kekalkan posisi lapangan terbang terbaik dunia

KLIA, LGK kekalkan posisi lapangan terbang terbaik dunia

KLIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK) mengekalkan kedudukan sebagai lapangan terbang terbaik dunia dengan masing-masing mencapai markah sempurna 5.00 dalam tinjauan Kualiti Perkhidmatan Lapangan Terbang (ASQ) suku ketiga 2022.

Kedua-dua lapangan terbang itu telah mencapai kedudukan terbaik yang sama pada suku kedua 2022.

Untuk suku ketiga, KLIA berkongsi pencapaian dalam kategori lebih 40 juta penumpang setahun (mppa) bersama lapan lapangan terbang lain.

Sementara itu, LGK adalah satu-satunya lapangan terbang dalam kategori 2–5 mppa yang mendapat mata penuh dalam tinjauan ASQ oleh Airports Council International (ACI) yang mengukur keseluruhan kepuasan penumpang untuk keselamatan terminal, kemudahan, perkhidmatan dan kebersihan.

Pengarah Urusan Malaysia Airports, Datuk Iskandar Mizal Mahmood berkata, perjalanan udara mengalami pemulihan yang lebih pantas pada separuh kedua tahun ini.

“Dengan peningkatan penumpang yang datang melalui lapangan terbang, kami ingin sentiasa memastikan prosedur yang cekap, kemudahan berfungsi dengan baik dan kakitangan lapangan terbang yang mesra,” katanya dalam kenyataan.

Lebih banyak syarikat penerbangan telah menyambung semula laluan penerbangan mereka ke Malaysia pada Oktober termasuk KLM Royal Dutch Airlines (KL), All Nippon Airways (NH) dan Lion Air (JT) yang telah memulakan semula perkhidmatan penerbangan dari Amsterdam (AMS) tanpa henti, Tokyo-Haneda ( HND) dan Surabaya (SUB) masing-masing ke Kuala Lumpur (KUL).

Kumpulan juga menyaksikan pengembalian semula laluan Manila (MNL) – Kota Kinabalu (BKI) oleh Cebu Pacific (5J) dan laluan Pulau Pinang (PEN) – Denpasar (DPS) oleh AirAsia (AK) di Malaysia .

Prestasi trafik penumpang pada Oktober bagi operasi Kumpulan Malaysia di negara ini mencatatkan sejumlah 5.4 juta pergerakan dengan 2.1 juta pergerakan antarabangsa serta 3.3 juta domestik, manakala operasi Turkiye di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) merekodkan 2.9 juta iaitu 1.5 juta pergerakan antarabangsa dan 1.4 juta domestik.

Berbanding bulan sebelumnya, trafik antarabangsa meningkat sebanyak 9.0 peratus di lapangan terbang kumpulan di Malaysia dan 3.0 peratus di SAW.

Pada keseluruhannya, Kumpulan merekodkan sejumlah 8.3 juta pergerakan penumpang bagi Oktober, melepasi paras lapan juta untuk bulan kedua berturut-turut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN